comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas tahap satu di Kelantan, Terengganu

Foto hiasan

PETALING JAYA: Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai di Kelantan merekodkan gelombang haba pada tahap satu iaitu tahap berjaga-jaga.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkata, status cuaca panas itu turut membabitkan kawasan Kuala Terengganu, Terengganu.

“Status cuaca panas itu pada tahap satu iaitu tahap berjaga-jaga di mana suhu boleh mencecah 35 darjah celcius sehingga 37 darjah celcius,” kata jurucakap jabatan itu dalam video laporan cuaca untuk pagi ini di YouTube yang turut menasihatkan masyarakat supaya elak melakukan pembakaran terbuka.

 

Menurutnya, rantau negara menerima pengaruh angin daripada pelbagai hala dengan kelajuan  10 hingga 20 kilometer sejam.

“Bagi tinjauan cuaca semasa, keadaan cuaca agak cerah dan baik di hampir keseluruhan negeri di Semenanjung Malaysia buat masa ini.

“Bagaimanapun keadaan hujan masih berbaki di Kemaman, Terengganu dan Pontian, Kulai dan Johor Bharu di Johor. Kita menjangkakan keadaan itu masih lagi boleh berlarutan sehingga lewat pagi nanti,” katanya.

“Ramalan cuaca di sebelah petang, METMalaysia menjangkakan keadaan cuaca hujan di pendalaman Semenanjung Malaysia dan menjelang petang lebih tertumpu di bahagian Pantai Timur di sekitar Kelantan, Terengganu dan Pahang selain sedikit di Johor Timur.

“Namun menjelang ke awal malam keadaan hujan lebih tertumpu di sekitar Pantai Barat iaitu meliputi negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan juga Johor Barat,” katanya.

METMalaysia berkata, bagi Sabah dan Sarawak, dijangka hujan di sebelah petang membabitkan kawasan pendalaman .

“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati berikutan aktiviti hujan dan ribut petir ini boleh membawa kepada keadaan angin yang sangat kencang, banjir kilat serta kerosakan kepada struktur bangunan yang tidak kukuh,” katanya.

Loading...
Terkini