comscore
Tumpuan :
Nasional

CUEPACS rayu kerajaan segera naikkan gaji penjawat awam

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat (duduk kanan) selepas Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam Negeri Kedah Tahun 2024 di Sungai Petani.- Foto: NSTP

SUNGAI PETANI: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan (CUEPACS) merayu kerajaan melaksanakan segera kenaikan gaji penjawat awam sebanyak RM300 bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata langkah itu penting tanpa perlu menunggu pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dalam memastikan penjawat awam lebih selesa dengan situasi semasa.

“Walaupun kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyatakan sistem ini mungkin siap penghujung tahun ini namun bagi Cuepacs, sama ada siap atau tidak, ia adalah perkara yang baik…tetapi kami mahu kenaikan gaji penjawat awam dinaikkan lebih awal.”

Foto hiasan

“Ini kerana ramai dalam kalangan penjawat awam yang tidak lagi mampu menghadapi kos sara hidup yang tinggi ketika ini berbanding kedudukan gaji semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam Negeri Kedah Tahun 2024 di Dewan Kenangan Sultan Abdul Hamid, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di sini, hari ini.

Hadir bagi merasmikan majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali.

Adnan berkata sekiranya kerajaan tidak mampu berbuat demikian, Cuepacs tetap akan meneruskan tuntutan yang setara dengannya.

“Mungkin bukan dalam bentuk gaji sebaliknya dalam bentuk elaun khas sistem saraan…dan elaun ini akan ditutup apabila sistem SSPA siap dan pelarasan gaji diumumkan oleh kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Adnan menegaskan kesemua tuntutan yang dikemukakan Cuepacs sebelum ini dipandang secara serius oleh kerajaan.

“Perdana Menteri menyebut agar penjawat awam mendapat pulangan yang baik dan diberi gaji yang lebih adil dengan pekerjaan mereka. Semua tuntutan Cuepacs dipertimbangkan oleh kerajaan, mungkin sedikit terlewat dari segi pelaksanaan sistem saraan ini, maka disebabkan itu kami minta kenaikan gaji dibuat lebih awal,” katanya.

Loading...
Terkini