comscore
Tumpuan :
Nasional

CUEPACS gesa kerajaan tunai janji naikkan gaji

KUALA TERENGGANU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menunaikan janji menaikkan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam melalui Belanjawan Madani 2024 pada Oktober ini walaupun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, kenaikkan gaji buat sementara waktu sebelum kenaikan berkala bagi setiap 10 tahun perlu ditunaikan tahun depan seperti yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum PRN lalu.

Beliau juga menyelar tindakan segelintir pihak yang berpandangan kerajaan tidak perlu menaikkan gaji penjawat awam berikutan keputusan PRN tersebut.

Menurutnya, kerajaan tidak wajar mengikut pandangan serong dan tidak berperlembagaan pihak terbabit kerana kerajaan merupakan majikan penjawat awam.

“Dan jika majikan kami yang juga merupakan kerajaan ini telah bersetuju untuk meningkatkan gaji maka kami amat yakin kerajaan mampu melakukannya walaupun keputusan Pilihan Raya Negeri dilihat positif atau negatif itu cerita lain.

“Bagi penjawat awam kerajaan adalah majikan kami tempat kami meminta dan kerajaan telah memberi komitmen dan kami berharap komitmen itu terus mampu kekal sehingga mampu dilaksanakan oleh kerajaan”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perjumpaan bersama penjawat awam di Kuala Terengganu hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menaikkan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam dalam amaun kecil buat sementara waktu menerusi Belanjawan Madani 2024 sebelum kenaikan berkala bagi setiap 10 tahun diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan.

Loading...
Terkini