comscore
Tumpuan :
Nasional

BSH RM300 sebulan untuk Veteran Tidak Berpencen, bukti kesungguhan kerajaan jaga kebajikan penjawat awam – CUEPACS

PETALING JAYA: Pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan kepada Veteran Tidak Berpencen bermula usia 60 tahun, disifatkan sebagai satu manifestasi bahawa kerajaan komited dalam menjaga kebajikan penjawat awam di negara ini.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat menerusi kenyataan memaklumkan, ia membuktikan bahawa kerajaan benar-benar serius untuk melihat semula semua kadar upah dan gaji yang diterima oleh penjawat awam ketika ini.

Justeru, penjawat awam dinasihati supaya dapat bersabar dan memberi ruang serta kepercayaan yang penuh kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merangka usaha berkenaan.

“Perkara ini sebenarnya sudahpun dilakukan apabila kerajaan tetap meneruskan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 bermula Januari lalu serta pemberian bantuan khas yang lain kepada penjawat awam dari semasa ke semasa termasuk rebat RM10 sebulan bagi langganan pakej pasca bayar,” katanya.

Semalam, kerajaan bersetuju memperluaskan BSH sebanyak RM300 sebulan kepada Veteran Tidak Berpencen bermula usia 60 tahun berbanding ia hanya dinikmati pada usia 80 tahun sebelum ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dilaporkan berkata insentif itu berkuat kuasa bulan depan dan akan memberi faedah kepada seramai 41,970 orang membabitkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM151.1 juta setahun.

Menurut Datuk Adnan lagi, kerajaan terbukti menunjukkan kesungguhan dalam merangka Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu yang komprehensif dengan mewujudkan jawatankuasa khas ke arah itu.

“Kita amat berpuas hati apabila sesi libat urus ini menerima pandangan semua pihak yang mana setiap kluster diketuai oleh ketua setiausaha, yang bertanggungjawab memastikan pembabitan semua kementerian, jabatan dan wakil pekerja termasuk pihak kesatuan secara inklusif,” katanya.

Maka Datuk Adnan mahu penjawat awam terus fokus dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam berada pada tahap yang terbaik yang perlu dibuat secara kolektif dan bersepadu oleh semua pihak dalam semangat Malaysia Madani.

Loading...
Terkini