comscore
Tumpuan :
Nasional

Cukai jalan kenderaan EV 85 peratus lebih murah

Kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEV) atau kenderaan elektrik ditetapkan berdasarkan kuasa motor elektrik, berkuat kuasa 1 Januari 2026.-Foto hiasan.

PUTRAJAYA: Kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEV) atau kenderaan elektrik ditetapkan berdasarkan kuasa motor elektrik, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kadar fi baharu itu adalah 85 peratus lebih rendah berbanding kadar sedia ada.

Katanya, kadar fi LKM baharu yang ditetapkan hanya terpakai kepada ZEV dalam kategori ‘Pure Battery Electric Vehicle (PBEV) dan Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) sahaja.

“Kadar fi akan meningkat selaras dengan kenaikan kuasa motor elektrik, secara amnya peningkatan kuasa motor elektrik akan mewakili peningkatan dalam harga belian, saiz, segmen dan berat kenderaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke berkata bagi menggalakkan transisi kepada kenderaan tanpa pelepasan karbon, kadar fi bagi kebanyakan kenderaan ZEV adalah lebih rendah berbanding kenderaan ‘internal combustion engine’ (ICE).

Jelasnya, semua kadar fi yang ditetapkan akan disemak sekurang-kurangnya setiap lima tahun bagi memastikan keberkesanan dalam mencapai objektif peralihan kepada ZEV.

Prinsip penetapan fi dibuat berdasarkan kadar blok dengan setiap blok ditetapkan pada julat kuasa motor 100,000 watt dengan blok 1 adalah bagi ZEV yang mempunyai kuasa motor elektrik dari satu watt hingga 100,000 watt; blok 2 antara 100,001 hingga 210,000 watt dan seterusnya.

“Bagi setiap blok, akan ditetapkan had minimum dan maksimum kadar fi LKM. Sebagai contoh, kadar fi LKM bagi blok 1 adalah RM20 manakala kadar maksimum pula adalah RM70 manakala blok 3, kadar fi minimum adalah RM305 dan maksimum pula adalah RM575,” katanya.

Beliau berkata bagi setiap blok, kadar kenaikan fi LKM ditetapkan secara progresif dengan setiap kenaikan 9,999 watt akan dikenakan tambahan bayaran mengikut kadar kenaikan yang ditetapkan dalam blok terbabit.

“Sebagai contoh bagi kenderaan BYD Dolphin Premium Standard Range yang berkapasiti 130 kilo watt (kW) akan hanya dikenakan fi LKM sebanyak RM120 berbanding kadar sedia ada bernilai RM624.”

“Manakala bagi Tesla Model Y yang berkapasiti 220kW adalah RM305 sahaja berbanding fi LKM sedia ada bernilai RM2,583,” katanya.

Loke berkata, pihaknya akan menggazetkan kadar fi LKM bagi segmen kenderaan berkenaan dalam tempoh terdekat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini