comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Cukup dengan majlis bacaan Yasin bagi meraikan persaraannya’

Shamsiah menunjukkan gambar dirakam bersama arwah suami dan dua anak mereka pada Aidilfitri lalu. – Foto: NSTP

ALOR GAJAH: “Arwah cakap pada saya yang dia tidak mahu atau berharap sekolahnya buat apa-apa majlis, cukup dengan majlis bacaan Yasin bagi meraikan persaraannya bulan depan (7 Julai 2024).

Perkara itu juga diberitahu kepada seorang ustaz di sekolahnya,” kata bekas guru Taman Bimbingan Kanak Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Shamsiah Khamis, 56.

Menurutnya, dia tidak menyangka ‘permintaan’ suaminya, Hamzah Ahmad, 60, yang juga Pembantu Operasi Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah menjadi kenyataan apabila malam tadi kariah Masjid Kampung Londang mengadakan tahlil dan bacaan Yasin untuk arwah.

Katanya, beliau perasan arwah seolah berat hati untuk mengikuti rombongan ke Terengganu untuk lawatan penanda aras di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu.

“Namun, guru-guru sekolah pelawa mengenangkan arwah suami dah lama bertugas di SK Jeram, namun arwah macam berat hati kerana sukar tinggalkan masjid. Kebetulan Isnin, sekolahnya (pula) cuti peristiwa sebab ada program pada Sabtu lalu, jadi arwah pergi juga.

“Seminggu dua ini, arwah jadi pendiam, saya dan anak-anak sangkakan mungkin dia sedih mengenangkan nak bersara tidak lama lagi,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Londang, Masjid Tanah.

Shamsiah berkata, suaminya sempat menelefonnya pada 10 malam sebelum bas rombongan berkenaan bertolak dan dia hanya mengetahui nahas berlaku selepas diberitahu oleh kakaknya, Sharifah, 58, yang terbaca berita mengenainya di media sosial.

“Arwah kata ‘abang dah nak gerak’. Saya kata sampai nanti telefonlah, namun sehingga pagi arwah masih tidak telefon menyebabkan saya risau.

“Anak juga cuba telefon namun panggilan tidak berjawab sehinggalah kakak saya hubungi beritahu bas rombongan SK Jeram kemalangan.

“Kakak pada mulanya tidak sangka dan terkejut arwah suami ikut serta dalam rombongan sekolah,” katanya yang menghidap penyakit saraf sejak 2002 dan bersara awal pada 2015.

Katanya, sebaik mendapat pengesahan apabila dihubungi pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, mereka sekeluarga bertolak ke sana.

“Pada mulanya kami hanya diberitahu arwah kemalangan, namun tidak mengetahui keadaannya serta diminta terus ke Zon Merah apabila sampai.

“Ketika tiba di Pasir Besar (Negeri Sembilan), kami dapat tahu suami sudah meninggal dunia dan berpatah balik tunggu di rumah manakala anak sulung dan kakak saya terus ke hospital.

“…saya macam tidak percaya kerana pada mulanya ingin melawat dan menjaga suami di hospital,” katanya.

Jenazah suaminya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang, kira-kira 11 malam.

Kemalangan bas persiaran dan sebuah treler membawa muatan gelung besi di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau itu, setakat ini meragut empat nyawa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini