comscore
Tumpuan :
Nasional

Daging ayam sejuk beku bercampur khinzir dirampas

Pasukan operasi memerlukan kontena berisi daging ayam berlogo halal yang diletakkan bersama bekalan daging khinzir. FOTO: KPDN Sabah

KOTA KINABALU: Sebanyak 847 kotak ayam sejuk beku bernilai RM121,968 dirampas kerana disyaki terbabit dengan pelanggaran takrifan halal.

Rampasan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dalam serbuan di sebuah stor di Jalan Burung Keleto, Inanam, di sini, semalam.

Semua daging ayam berkenaan mempunyai logo halal namun didapati disimpan di dalam sebuah kontena bersama bekalan daging khinzir.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Georgie Abas berkata semua rampasan berkenaan diterima daripada PGA untuk siasatan lanjut.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM151,968 termasuk kontena sejuk beku berkenaan.

“Seorang lelaki tempatan pemilik premis yang ditemui di tempat kejadian sudah diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan. Sementara daging babi pula disita oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Georgie, kes ini akan disiasat mengikut Perintah 3 (1) (g) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu menyimpan barang yang diperihalkan sebagai halal dengan barang yang tidak diperihalkan sebagai halal di satu tempat simpanan yang sama.

Katanya, mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, pesalah membabitkan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta dan tidak melebihi RM10 juta bagi kesalahan kedua.

Bagi orang perseorangan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu, Georgie berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti salah laku dan tidak beretika peniaga berhubung penggunaan logo halal boleh disalurkan kepada pihak KPDN untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000 atau menerusi Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my.

Kaedah lain yang boleh digunakan ialah menerusi talian Call Centre 1-800-886-800 atau Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini