comscore
Tumpuan :
Nasional

Dah setahun Syamsul sekat panggilan – Puteri Sarah

KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, mendakwa suaminya, Syamsul Yusof sebagai lelaki pengecut apabila berani bersuara dalam media sosial selepas berkahwin dua dengan Ira Kazar di Thailand, semalam.

Menerusi video berdurasi lebih lapan minit dimuat naik dalam laman Instagram (IG), Puteri Sarah juga menganggap Syamsul penakut kerana memilih berkahwin di Thailand, bukan Malaysia.

“Jika buat benda betul, kenapa nak bernikah di Thailand. Itu hanyalah tindakan lelaki pengecut.

“Selain itu, tolong hentikan guna nama Allah kerana itu hanya akan menampak awak seorang munafik,” katanya dalam video berkenaan.

Puteri Sarah berkata, mulanya dia juga berbelah-bahagi ingin membuat penjelasan menerusi video, namun terdapat beberapa kenyataan Syamsul bercanggah hingga memaksanya menjelaskan kemelut berlaku dalam rumah tangga.

“Saya pelik baru beberapa hari lepas tidak mengaku berkahwin dan mendakwanya sebagai fitnah sehingga ingin menyaman Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Soalan pertama saya kepada Mohd Syamsul, awak kata baliklah berbincang. Saya hairan isu awak dan Ira sudah empat tahun berlaku.

“Malah, saya beri awak peluang selama empat tahun untuk bercakap, bukan empat hari atau empat bulan, tetapi awak tidak cakap apapun.

“Banyak kali saya tanya, adakah awak ingin berkahwin dengan dia? Tetapi, awak cakap tak nak. Bukan kepada saya, malah kepada ibu bapa dan sepupu pun awak cakap benda yang sama.

“Kenapa saya suruh awak berkahwin, sebab saya tidak mahu bersubahat dengan maksiat yang awak buat,” kata Sarah lagi.

Terdahulu, Syamsul dalam menerusi video dimuat naik dalam IG meminta Sarah supaya pulang ke rumah agar dapat berbincang secara baik.

Selain itu, Syamsul turut meminta isteri pertamanya itu berhenti daripada mengaibkannya dalam media sosial.

Bagaimanapun, Puteri Sarah menyelar kenyataan Syamsul, sebaliknya meminta suaminya berhenti menuduhnya membuka aib.

“Tolong jangan sesekali cakap saya buka aib awak. Awak tahu macam mana perasaan saya ketika waktu berpantang apabila melihat video awak bersama wanita itu?

“Cakap pasal berbincang, macam mana saya hendak berbincang, sedangkan awak sekat nombor telefon saya?

“Malah, hingga hari ini, awak masih lagi sekat panggilan saya. Sekiranya awak menyah sekatan, bukankah kita boleh berbincang?,” katanya.

“Kalau tidak mahu bersemuka dengan saya, tidak mengapa. Awak boleh jumpa ibu bapa saya. Awak boleh berbincang dengan mereka sebagaimana ketika awak hendak mengambil saya sebagai isteri dulu,” kata Puteri Sarah.

Tambah Puteri Sarah, dia berulang-alik di rumah mentua dan ibu bapanya, sejak setahun lalu.

“Awak tidak ada, tinggalkan saya dan anak-anak. Jadi, saya terkontang-kanting sendirian menjaga Syaikhul Islam dan Sumayyah.

Dalam video berkenaan, Puteri Sarah mendedahkan, mereka pernah berbaik tahun lalu, tetapi Syamsul tidak mengizinkannya menghebohkan perkara berkenaan.

Namun, katanya, baru sekarang dia faham kenapa suaminya berbuat demikian.

Sementara itu, Sarah sempat berpesan kepada suaminya agar menjalankan tanggungjawab sebagai bapa yang baik kepada anak-anak.

Sarah turut mengingatkan Syamsul mengenai perintah injuksi dan menghina mahkamah tetap diteruskan, justeru mohon doa orang ramai buatnya.

Terdahulu, pergolakan rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul berlarutan sejak empat tahun lalu selepas Ira didakwa mengganggu mereka sejak 2019.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul dan Sumayyah.

Loading...
Terkini