
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, memfailkan permohonan untuk mencabar keabsahan pertuduhan terhadapnya mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Pengubahan Wang Haram.
Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 70 aset dan satu akaun amanah saham, Disember tahun lalu.
Perkara itu disahkan peguamnya, Rajesh Nagarajan ketika dihubungi media hari ini.
Dalam permohonan notis usul difailkan pada 15 Mac lalu, Daim memohon Mahkamah Sesyen membuat suatu perintah bagi merujuk kepada Mahkamah Tinggi di bawah seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, iaitu persoalan berkenaan kuasa peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Persoalan itu membabitkan Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, Seksyen 36(2) (seksyen dalam pertuduhan) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009
Daim mahukan Mahkamah Tinggi menjawab persoalan sama ada seksyen berkenaan melanggar hak untuk perlindungan terhadap pembabitan sendiri dengan kesalahan, hak untuk tidak dipaksa memberikan keterangan bagi menunjukkan kesalahan untuk digunakan dalam suatu prosiding terhadap diri sendiri, dan hak untuk perbicaraan adil.
Dengan itu, beliau memohon mahkamah menentukan sama ada ia seterusnya melanggar Perkara 5 (kebebasan diri) dan 8 (perlindungan sama rata di sisi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan, dan menjadikannya tidak berperlembagaan dan terbatal.
Daim, 86, didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Harta itu membabitkan aset antaranya akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar serta Rolls Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah/ tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Semakan Kehakiman: Rayuan Daim, keluarga didengar 9 Mei
- [VIDEO] Mahkamah tolak permohonan Daim dan keluarga untuk cabar siasatan SPRM
- [VIDEO] Azam Baki sahkan disaman Daim
- SPRM nafi tawar RM100,000 untuk maklumat mengenai aset Daim
- Tun Daim mohon bicara tidak isytihar harta
- Permohonan isteri Daim mahu pasport secara kekal didengar 13 Mac
- Permohonan batal pertuduhan Daim, isteri perlu dibuat di mahkamah jenayah