comscore
Tumpuan :
Nasional

Dakwa curi nadir bumi dan guna peruntukan Marris, Sanusi saman Saifuddin

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan saman terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana mendakwa Menteri Dalam Negeri itu memfitnahnya mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Muhammad Sanusi yang memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui firma guaman Tetuan Faizi & Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 3 Ogos lalu turut mendakwa Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu memfitnahnya menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Melalui pernyataan tuntutannya, Muhammad Sanusi berkata Saifuddin menyampaikan ceramah pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah, bertempat di Padang Awam, Guar Chempedak, Yan, pada jam 8.30 malam, 15 Julai lalu.

Ia bagi kempen politik Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Kedah pada 12 Ogos ini.

Dalam ceramah itu, Muhammad Sanusi mendakwa Saifuddin mengeluarkan kata-kata fitnah yang menuduhnya selaku Menteri Besar dan Pengerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) mencuri REE di Kampung Chong, Sik dan mendapat liputan luas media.

Artikel berkaitan: Kecurian REE jadi skandal babit pentadbiran Sanusi, MBI Kedah – Saifuddin

Beliau yang bertindak selaku plaintif berkata kata-kata fitnah itu membawa maksud, antaranya beliau adalah seorang pencuri dan terbabit dalam kegiatan kecurian hasil bumi negeri Kedah serta mengkhianati penduduk negeri itu dengan mengaut hasil bagi tujuan kepentingan peribadi dan wang ringgit.

Plaintif berkata ia juga membawa maksud dirinya seorang yang korup, tidak beramanah, tidak berintegriti dan tidak boleh dipercayai serta terbabit dalam isu serta permasalahan tatakelola yang serius dalam pentadbiran negeri itu.

Katanya, ia juga bermaksud beliau tidak mengambil peduli, tidak mengambil berat, tidak menghormati dan tidak mengendahkan peraturan serta undang-undang yang terpakai berhubung pengeluaran hasil bumi.

Menurut Muhammad Sanusi, kata-kata fitnah yang disebarkan dan disiarkan oleh Saifuddin secara terus kepada rakyat negeri Kedah yang hadir pada program berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

“Kompaun RM500,000 yang dikeluarkan Pengarah Tanah dan Galian Kedah bukan atas dasar kesalahan saya mencuri unsur nadir bumi tetapi kerana MBI adalah pemegang permit penggunaan ladang hutan.

Kompaun itu dikeluarkan berikutan tindakan pihak ketiga yang melakukan aktiviti pencerobohan dan kegiatan mencuri unsur nadir bumi di Ladang Hutan berkenaan.

Pihak ketiga yang beralamat di Kuala Krai, Kelantan sudahpun menjelaskan kompaun terbabit, ia tidak pernah ditujukan secara khusus kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi mendakwa defendan (Saifuddin) juga telah mengeluarkan kata-kata fitnah dengan menuduhnya menyalahgunakan peruntukan MARRIS.

Antaranya dengan menuduh bahawa kerajaan Kedah menggunakan sebahagian daripada peruntukan MARRIS yang dikhaskan bagi tujuan penyelenggaraan jalan untuk projek pembangunan di negeri itu.

Saifuddin juga dikatakan mendakwa terdapat kelemahan dalam pentabdiran kewangan Kedah kerana peruntukan RM1.6 bilion di bawah MARRIS hanya bagi digunakan untuk penyelenggaraan jalan raya.

Dalam reaksi balasnya, Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa peruntukan RM259 juta MARRIS tidak digunakan dan dipindahkan ke simpanan tetap kerajaan negeri.

Muhammad Sanusi juga mendakwa penyata kewangan mengenai perkara itu telah disahkan daripada hasil audit oleh Jabatan Audit Negara.

Tambah Muhammad Sanusi, beliau dilantik sebagai Menteri Besar pada tahun 2020 dan isu itu dibangkitkan oleh Jabatan Audit Negara sebelum tahun 2014 dan bukan di bawah pentadbirannya.

Katanya lagi, reputasi beliau sebagai seorang pemimpin politik telah tercemar dan tercalar di mata masyarakat umum dan dipandang serong oleh masyarakat dan ahli-ahli politik berikutan dua kenyataan fitnah terbabit.

Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada Saifuddin serta perintah mahkamah untuk memaksanya mengemukakan permohonan maaf terbuka bagi kenyataan tersebut.

Loading...
Terkini