comscore
Tumpuan :
Nasional

“Dakwaan dipukul itu tidak benar” – Polis

IPOH: Tidak ada anggota polis yang memukul pesalah trafik dalam operasi membanteras samseng jalanan atau ‘mat rempit’ di Jalan Jelapang, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hasaan, berkata pihaknya mengesan video di twitter milik pengguna akaun  ‘Nan Manjoi’ memaparkan sebahagian ‘adegan’ dalam operasi berkenaan.

Jelasnya video itu memaparkan seorang lelaki yang merupakan bapa kepada salah seorang pesalah trafik yang dikenakan sebanyak lima saman hadir ke lokasi operasi serta menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan penguatkuasaan polis.

Ditanya sama ada ketidakpuasan hati bapa pesalah trafik berkenaan susulan anaknya dipukul polis sebagaimana dakwaan segelintir pengguna internet, Yahaya menafikan perkara itu berlaku.

Beliau turut menyifatkan dakwaan bahawa pesalah trafik berusia 23 tahun itu dipukul hanya sebagai taktik untuk sensasikan isu itu yang dilakukan oleh kumpulan ‘mat rempit’ yang sering menjadikan lokasi itu bagi kegaiatan mereka.

“Dakwaan dipukul itu tidak benar. Pesalah trafik berkenaan memaklumkan kepada ibu bapanya selepas diambil tindakan oleh pihak polis dan bapa pesalah itu datang ke tempat kejadian.

“Anaknya memang melakukan pelbagai kesalahan termasuk dengan sengaja membuat bunyi bising dengan mengubah suai ekzos motosikal, selain tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran, tiada cermin sisi, dan aksesori tidak sempurna pada motosikal.

“Bagaimanapun, bapa pesalah trafik itu kemudiannya meminta maaf kepada pihak polis dan beliau sudah diberi nasihat serta amaran tanpa ditangkap,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Operasi itu dijalankan sepasukan polis daripadaBahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membanteras aktiviti lumba haram antara jam 3 hingga 6 pagi tadi.

Kata Yahaya lagi, sepanjang operasi itu dijalankan, sebanyak 27 motosikal serta 32 individu diperiksa dengan pemeriksaan itu menghasilkan tindakan sita terhadap sebuah motosikal.

Menurutnya lagi, operasi turut berhasil menangkap seorang lelaki warga Thailand berumur 19 tahun atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan dan dia ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan  1987.

Katanya, dalam operasi sama, sebanyak 30 keping saman trafik atas pelbagai kesalahan, dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.

Loading...
Terkini