comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi khas di 3 lokasi banteras samseng jalanan

Jauteh (duduk hadapan, tengah) bergambar bersama pegawai dan anggota JSPT Kontinjen Sabah. – FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan mengadakan operasi khas secara berterusan di tiga kawasan di daerah ini yang dipercayai menjadi ‘sarang’ samseng jalanan atau mat rempit, bagi membanteras sepenuhnya gejala sosial itu.

Ketiga-tiga lokasi berkenaan ialah di sepanjang Jalan Kepayan Aeropod, Jalan Tun Fuad Stephen berhadapan Hotel Marriot dan Jalan Tun Fuad Stephen berhadapan Anjung Selera, Likas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tindakan itu susulan rungutan masyarakat di ketiga-tiga kawasan berkenaan yang sering terganggu dengan kegiatan samseng jalanan.

Katanya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sudah mengadakan beberapa siri operasi di tiga kawasan itu sejak pertengahan tahun lalu.

“Bagaimana aktiviti ini (samseng jalanan) masih berterusan, terutama apabila pegawai dan anggota trafik terbabit dalam penugasan lain.

“Susulan itu, gejala sosial mat rempit berkembang semula. Jadi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah akan memastikan operasi secara berterusan akan dilakukan di tiga kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tamat Majlis Serah Terima Tugas JSPT Kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, aktiviti samseng jalanan itu dikatakan berlaku pada sebelah malam hujung minggu sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Katanya, pengunjung gerai di Anjung Selera juga mengadu terganggu dengan bunyi bising yang berpunca daripada kegiatan mat rempit.

Loading...
Terkini