comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dana publisiti RM700 juta: Ismail Sabri beri keterangan kepada SPRM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dilaporkan memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti kempen Keluarga Malaysia.

Siasatan itu termasuk pemberian projek kepada individu tertentu termasuk melaksanakan dua pro­gram ketika pentadbirannya.

Sumber berkata, keterangan Ahli Parlimen Bera itu diambil di sebuah lokasi di ibu negara kira-kira jam 10 pagi tadi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Akta SPRM 2009.

Buletin TV3 ketika ini sedang mendapatkan pengesahan daripada SPRM berhubung perkara ini.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan, siasatan SPRM terhadap bekas pemimpin tersebut turut memfokuskan kekayaan dimilikinya termasuk ahli keluarganya.

SPRM juga dipercayai telahpun merakam keterangan pembantu yang mempunyai hubung kait dengan beliau sebelum ini.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan akan memanggil seorang bekas Perdana Menteri dan beberapa pegawai di pejabat bekas Perdana Menteri berkenaan yang terbabit dengan perbelanjaan dana.

Sebelum ini, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan siasatan terbabit berkata, pihaknya juga sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kes itu.

Ia untuk meneliti bagaimana kelulusan proses dan tatacara perbelanjaan dana kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022, yang menggunakan dana RM700 juta bagi tujuan promosi serta publisiti.

Loading...
Terkini