comscore
Tumpuan :
Nasional

Dapatan awal RUU 355 sudah dibuat, perlu diperinci – Timbalan Menteri

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Konvensyen Dakwah dan Tarbiah Kelantan 2024 di Kota Bharu hari ini. Foto NSTP

KOTA BHARU: Laporan dan dapatan awal mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) sudah dibuat namun perlu diperincikan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata sehingga kini RUU 355 masih di peringkat libat urus bersama pihak berkaitan.

“Sekarang ini Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah bermesyuarat dan menyediakan laporan malah sudah ada laporan-laporan dapatan awal.”

“Namun begitu ia akan dimurnikan dan jawatankuasa itu akan menyediakan laporan itu kepada MKI (Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam) dan sekarang ini peringkat perbincangan serta libat urus dengan pihak-pihak berkaitan.”

“Seterusnya ia akan dibawa kepada pihak berautoriti, MKI dan Majlis Raja-Raja dan dibawa kepada majlis Jemaah Menteri, itu proses yang kita lalui dan perlu melalui proses seperti mana yang ada dalam perlembagaan,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada sempat atau tidak RUU 355 itu dibentangkan di parlimen tahun ini, Zulkifli memberi jaminan bahawa kerajaan sangat komited terhadap perkara itu.

Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turut memaklumkan komitmen itu sekaligus menyifatkan RUU 335 adalah isu yang mendapat perhatian semua.

“Kerajaan komited sekiranya (sudah) dibentangkan kepada MKI, Majlis Raja-raja dan Jemaah Menteri malah PM sudah pun memaklumkan komitmen itu tapi saya tidak dapat menjanjikan bila tarikh itu (bentang di parlimen),” katanya.

RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad, iaitu denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau/dan sebat enam kali kepada bidang kuasa lebih mengikut syariah, kecuali hukuman bunuh.

Terdahulu Zulkifli hadir merasmikan Konvensyen Dakwah dan Tarbiah Kelantan 2024 di Dewan Jabatan Pendidikan Negeri(JPN) Negeri Kelantan di sini.

Program itu turut dihadiri Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) negeri Kelantan, Mahadi Awang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini