comscore
Tumpuan :
Nasional

Datuk Pahamin Rajab meninggal dunia akibat serangan jantung

KUALA LUMPUR : Bekas Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Pahamin Rajab meninggal dunia pada usia 77 tahun, akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London, United Kingdom (UK), malam tadi.

Azhar berkongsi berita duka pemergian bapa mentuanya di Instagram, awal pagi tadi – Foto IG Azhar Sulaiman

Berita duka itu dikongsi menantunya, pelakon, Azhar Sulaiman menerusi hantaran Instagram (IG), awal pagi tadi.

“Dukacita saya hendak maklumkan bapa mentua saya, Datuk Pahamin Rajab baru meninggal dunia.

“Beliau baru sampai London kena serangan jantung dalam penerbangan. Sekarang ibu mentua dan anak lelaki saya, Rees ada di London,” katanya.

Menurut Azhar, Allahyarham Pahamin yang juga bekas Ketua Pengarah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam perjalanan menghadiri majlis graduasi anaknya di London.

Beliau dan ahli keluarga yang lain akan berangkat ke London, esok.

Allahyarham Pahamin yang juga Pengasas Bersama AirAsia pernah berkhidmat dalam kementerian dan agensi kerajaan di Malaysia dalam tempoh lebih 30 tahun.

Allahyarham pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bermula 1998 hingga 2001 dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1974 hingga 1998.

Allahyarham Pahamin juga memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat termasuk LNG Resources Bhd, Forlife Research Sdn Bhd dan Mediscreen Sdn Bhd.

Loading...
Terkini