comscore
Tumpuan :
Nasional

DBKL wajar bincang dengan penjaja

Gerai penjaja yang indah melariskan jualan. – Foto hiasan BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mesti lebih serius menyahut cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membersihkan dan mengindahkan gerai di ibu kota.

Ketua Penerangan Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Dr Ammar Hassan, berkata DBKL masih lagi belum berjumpa dengan wakil gabungan itu untuk perbincangan lanjut.

“Saya sudah menghantar surat kepada DBKL untuk mengaturkan pertemuan dengan datuk bandar tetapi sehingga kini belum ada balasan.

“DBKL juga tidak pernah berbincang dengan kami mengenai hala tuju penjaja kecil. Bagi saya, mereka tidak serius untuk menjalankan amanat Perdana Menteri.

“DBKL tidak boleh bekerja secara bersendirian. Kami sedia untuk bekerjasama,” katanya kepada BH.

Perdana Menteri sebelum ini memberi tempoh tiga bulan kepada DBKL untuk mengemuka cadangan mengindahkan gerai penjaja di bandar raya ini.

Beliau turut mengarahkan tindakan diambil bagi membantu rakyat, terutama di bandar besar yang ramai masih hidup dalam keadaan daif, selain nasib peniaga kecil serta penjaja.

Ammar berkata, DBKL boleh mewujudkan gerai nasional supaya pelancong dapat merasai makanan tradisional negara ini.

“Pelancong dapat rasa makanan yang unik daripada setiap negeri seperti nasi dagang dan juga nasi kerabu.

“Saya juga mencadangkan supaya pertandingan kebersihan dapat dilakukan di antara gerai di ibu kota. Bagi merealisasikan kedua-dua cadangan ini, satu perbincangan bersama DBKL perlu dilakukan bagi menunaikan hasrat Perdana Menteri,” katanya.

Ammar berkata, Perdana Menteri juga wajar menyalurkan dana kepada gabungan berkenaan.

“Kami akan hantar surat kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan kunjungan hormat bagi membincangkan masalah yang dihadapi penjaja kecil.

“Saya yakin Perdana Menteri juga sama macam kita. Beliau tidak kekok untuk makan di warung ataupun gerai,” katanya.

Loading...
Terkini