comscore
Tumpuan :
Nasional

Delegasi 7 universiti Australia sertai program Australian Familiarization Visit di UPSI

Prof Datuk Dr Md Amin (duduk belakang tengah) bersama delegasi Australia dan kakitangan UPSI.

TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi International Mobility Centre (IMC) dan The Consortium of Asia-Pacific Education Universities (CAPEU) bertindak sebagai hos menjayakan program Australian Familiarization Visit  dalam usaha memperkukuhkan kerjasama dalam pengantarabangsaan pelajar.

Program yang diadakan dengan kerjasama dengan Education Malaysia Australia (EMA) di Sydney dan Education Malaysia Global Services (EMGS) itu melibatkan pegawai dari tujuh buah universiti di Australia.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata universiti berkenaan membabitkan University of Queensland, University of Tasmania, Queensland University of Technology, La Trobe University, Edith Cowan University, University of Canberra dan University of Southern Queensland.

Beliau yang meluangkan masa beramah mesra bersama pegawai tujuh universiti Australia di Galeri Seni, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, antara lain dalam ucapan aluannya mengucapkan terima kasih kepada universiti-universiti pelawat atas komitmen mereka dalam memperkukuhkan ikatan pengantarabangsaan pelajar di antara UPSI dan Australia.

“Saya menganggap  kerjasama ini penting sebagai perkongsian dalam mempersiapkan pelajar untuk berjaya di pentas dunia global,” katanya.

Melihat demonstrasi membuat kuih ondeh-ondeh.

 

Beliau berkata usaha kerjasama ini adalah bukti keperluan program pengantarabangsaan dan mobiliti pegawai universiti di antara kedua-dua negara menyertai pelbagai program edu-tourism yang terdapat di UPSI seperti aktiviti white water rafting di Sungai Bernam anjuran Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan.

Paling menarik, UPSI dikelilingi alam semulajadi yang menakjubkan, hutan hujan yang hijau dan sungai yang bersih memberikan pengalaman yang berbeza buat mereka.
Bagi Gemma Brophy dari Queensland University of Technology , keseronokan menelusuri sungai ini sungguh mengagumkan dan dia bersama rakan dikelilingi oleh kehijauan dan dibantu oleh jurulatih berpengalaman dari UPSI.

Delegasi universiti Australia turut menyertai water rafting.

Selain aktiviti eksplorasi sungai, delegasi Australia juga berpeluang untuk meneroka budaya Malaysia di Galeri Seni UPSI dan dipertontonkan dengan persembahan tarian tradisional yang menarik daripada pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan.

Mereka juga berpeluang menikmati gerakan tarian pelajar UPSI yang mengasyikkan dan berbusana pakaian tradisional yang unik telah menarik minat delegasi Australia.

Selain itu, pegawai universiti  Australia  menyaksikan demonstrasi memasak kuih tradisional iaitu ondeh-ondeh dengan seliaan Fakulti Teknikal dan Vokasional, malah berpeluang menyediakan kuih ondeh-ondeh sekali gus  menunjukkan kehebatan mereka menyediakan hidangan tersebut.

Loading...
Terkini