comscore
Tumpuan :
Nasional

UPSI, MASKUM santuni mangsa banjir di Kota Tinggi

Prof Norkhalid (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Datuk Seri Mohamed Khaled. FOTO: Ihsan UPSI

KOTA TINGGI: Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) meggerakkan ResQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini bagi melaksanakan misi bantuan terhadap mangsa banjir di sini.

Ia dilakukan susulan perkembangan yang menyaksikan peningkatan jumlah mangsa yang terjejas di kawasan berkenaan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI yang juga Pengerusi MASKUM, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata usaha itu diselaraskan bersama-sama Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Misi Bantuan Banjir MASKUM.

Katanya, misi bantuan banjir itu disempurnakan oleh Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri  Mohamed Khaled Nordin yang membuat pelepasan sukarelawan menjalankan misi di Pusat Khidmat Rakyat Kota Tinggi.

Sukarelawan UPSI membersihkan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pei Hwa di Kota Tinggi. FOTO: Ihsan UPSI

Katanya,  inisiatif itu dapat membangunkan insan yang bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik tetapi merupakan intelek manusiawi, penyelesai permasalahan dan inovator kreatif kepada isu-isu masyarakat.

“Sumbangan kepada mangsa banjir di Kota Tinggi berupa makanan retort sebanyak 300 pek, bakul makanan dan keperluan asas sebanyak 300 pek daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi dan Universiti Awam seperti UPSI, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)”.

Mohamed Khaled melihat modul SPM yang dibangunkan UPSI untuk disumbangkan kepada pelajar yang menjadi mangsa banjir. FOTO: Ihsan UPSI

Beliau berkata turut disumbangkan modul SPM EmpowerNCER Akademik sebanyak 20 set oleh UPSI bagi membantu pelajar SPM yang terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), ujarnya.

Sementara  itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berharap misi kemanusiaan itu akan membawa nilai tambah penting kerana hasil penyelidikan dan keilmuan yang dijana di IPT dipulangkan semula kepada masyarakat dalam bentuk yang memberi manfaat dan kebaikan supaya limpahan manfaat tidak hanya dirasai oleh warga IPT, malah turut dinikmati oleh komuniti selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

Tindakan yang dilakukan itu selaras dengan gagasan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir sempena  amanatnya “Landasan Hala Tuju Kementerian Pengajian Tinggi” bahawa KPT bukan hanya bertanggungjawab membangunkan bakat dalam kalangan warganya, bahkan juga mempunyai tanggungjawab besar untuk memberdayakan komuniti dan industri melalui program pemindahan dan perkongsian ilmu atau Knowledge Sharing and Transfer Programme (KSTP).

Loading...
Terkini