comscore
Tumpuan :
Nasional

7,616 graduan dirai sempena konvokesyen UPSI

TANJUNG MALIM: Universiti pendidikan tersohor negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan mengadakan majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-25 bermula esok sehingga 29 November bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata majlis istiadat yang akan dirasmikan oleh Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim itu menyaksikan seramai 7,616 graduan akan menerima ijazah dan diploma.

Beliau berkata konvokesyen kali ini akan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 121 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 1,487 Ijazah Sarjana, 4,240 Ijazah Sarjana Muda, 852 diploma serta 916 graduan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.

Daripada jumlah itu seorang akan menerima ijazah secara anumerta pada sesi kelapan pada 29 November.

Sempena majlis istiadat sesi pertama juga, Tuanku Zara berkenan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti kepada Tan Sri Dr Ismail  Bakar.

Tan Sri Dr Ismail Bakar

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dari Universiti Malaya pada tahun 1983 kemudiannya menyambung pengajian peringkat Sarjana di Universiti of Hull, United Kingdom dan memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada tahun 1995, seterusnya  memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Federalisme Fiskal pada tahun 2004 di universiti sama.

Pada sesi pertama juga, Tuanku Zara akan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja serta beberapa anugerah termasuk Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti (Kepimpinan), Pingat Emas Naib Canselor, Hadiah dan Anugerah Buku, serta beberapa anugerah dari tokoh dan pemain industri.

Anugerah Pelajaran Diraja dianugerahkan kepada dua pelajar cemerlang iaitu Rossalini Ramzi, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian dan Khoo Shu Yin, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dengan Kepujian.

Katanya, konvokesyen UPSI kali ini adalah sambutan kali yang ke-25 sekali gus menandakan sambutan Jubli Perak bagi universiti pendidikan tersohor tanah air itu.

Tahun lalu UPSI menyambut 100 Tahun penubuhan bermula era Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) seterusnya dinaiktaraf kepada UPSI pada 1997.

“Hari ini UPSI mempunyai pelbagai kemudahan yang lengkap dan kepakaran dalam bidang pendidikan sebagai usaha melahirkan graduan yang holistik untuk berkhidmat di sekolah-sekolah seluruh negara,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini