comscore
Tumpuan :
Nasional

Dewan Rakyat bincang isu usahawan gulung tikar, penyakit tidak berjangkit hari ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR : Perbelanjaan dan perancangan kerajaan untuk menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) selain jumlah usahawan yang gulung tikar ekoran kelembapan ekonomi semasa antara isu akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) meminta Menteri Kesihatan menyatakan berapa jumlah dibelanjakan untuk menangani NCD terutamanya diabetes dan perancangan untuk menangani prevalens NCD yang tinggi di Malaysia.

Selain itu, Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) akan bertanya kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi tentang jumlah usahawan yang gulung tikar ekoran kelembapan ekonomi semasa dan apakah usaha kementerian untuk membantu golongan usahawan terjejas.

 

Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) pula mengutarakan soalan kepada Menteri Ekonomi berkaitan berapa banyak wang yang telah dibelanjakan untuk Insentif Kemudahan Rakyat pada tahun ini dan pecahan perbelanjaan di peringkat negeri.

Ketiga-tiga soalan itu akan diajukan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi soal jawab pula, Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) dijadual  meminta penjelasan  Menteri Pendidikan berhubung komitmen kerajaan bagi mengurangkan beban guru bagi meningkatkan kualiti pendidikan dalam bilik darjah.

Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mahu Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat menjelaskan pelan tindakan kementerian dalam menjaga pembangunan, perlindungan dan kebajikan seramai 9.19 juta orang kanak-kanak di Malaysia.

Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat akan menyambung semula sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa kementerian berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober lalu hingga 30 November  ini.– BERNAMA

Loading...
Terkini