comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Dihempap mampatan kertas 600kg, pemandu lori maut 

Foto hiasan

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu lori kontena maut selepas dihempap mampatan kertas kitar semula dianggarkan seberat 600 kilogram (kg).

Kejadian berlaku di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Simpang Ampat, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa warga tempatan berusia 36 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, berdasarkan siasatan awal mangsa adalah pemandu lori kontena syarikat sub kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja menghantar dan memunggah set kertas kitar semula menggunakan kontena yang diterima daripada pembekal ke kilang berkenaan.

“Ketika sampai di kilang, mangsa membuka pintu kontena terlebih dahulu dan membuka lampu belakang lori.

“Semasa membuka lampu lori, mampatan kertas kitar semula yang mempunyai berat lebih kurang 600 kg jatuh dan menimpa mangsa.“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Jelasnya, susulan daripada kejadian terbabit notis larangan dikeluarkan pihak JKKP negeri bagi menghentikan kerja-kerja memunggah set kertas kitar semula itu serta merta sehingga siasatan selesai.

“Pada masa sama, JKKP negeri juga akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.

Loading...
Terkini