comscore
Tumpuan :
Nasional

Disangka hilang dalam hutan, remaja ditemui menyorok dalam tandas

Ibu mangsa memeluk erat anaknya selepas ditemukan bersembunyi di dalam tandas surau Kampung Pinang Jawa, Gita, Kuching awal pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM.

KUCHING: Seorang remaja lelaki yang disangka hilang masuk ke dalam hutan selepas merajuk dengan ibu, ditemukan bersembunyi dalam tandas.

Remaja berusia 13 tahun itu yang dilaporkan hilang jam 1.04 pagi tadi, ditemukan dalam tandas surau Kampung Pinang Jawa, Gita, di sini, tidak sampai dua jam kemudian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Sarawak berkata, selepas menerima laporan kehilangan remaja itu pada jam 1.04 pagi, pihaknya menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Petra Jaya ke lokasi kejadian.

“Ibu remaja itu memaklumkan anaknya lari ke dalam hutan setelah berlaku perselisihan faham di antara mereka berdua dan tidak membawa telefon bimbit.

Keluarga dan penduduk kampung berusaha mencari dalam belukar yang dikatakan lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya hari ini.

Selain bomba, beliau memaklumkan, ibu mangsa juga membuat laporan mengenai kehilangan anaknya itu di Balai Polis Gita.

“Pihak bomba membuat pecahan pencarian dalam radius 500 meter di kawasan belukar dan surau sebelum remaja itu ditemukan oleh anggota bomba pada jam 2.48 pagi, bersembunyi dalam tandas lelaki surau dengan pintu dikunci dari dalam.

“Anggota bomba memujuk sehingga berjaya dan dia keluar dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada keluarga dan tindakan lanjut pihak polis di lokasi,” katanya.

Selain 10 anggota bomba, turut terlibat dalam operasi mencari ialah enam anggota polis dan 15 penduduk kampung.

Loading...
Terkini