comscore
Tumpuan :
Nasional

Kuching, Bintulu diisytihar kawasan jangkitan rabies

Foto hiasan

KUCHING: Bahagian Kuching dan Bintulu diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies pada hari ini. Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata ia apabila daripada 16 sampel yang dikumpul, 12 ekor anjing telah diuji positif rabies iaitu lapan di Kuching, Padawan (1), Bau (1) dan Bintulu (2).

“Semua anjing yang diuji adalah liar dan tidak divaksinasi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Rundi berkata beliau juga menandatangani perintah vaksinasi anti-rabies di bawah Seksyen 40 (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, yang menghendaki semua anjing di dalam negeri hendaklah divaksinasi anti-rabies.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom.

“Mana-mana pemilik atau orang yang menjaga anjing yang gagal mematuhi perintah ini adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda sehingga RM2,500. Anjing yang sudah terdedah kepada rabies dan tiada bukti vaksinasi yang sah akan ditidurkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak bersama-sama Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan Sarawak (UPKS) telah mempergiatkan program vaksinasi anti-rabies di seluruh Sarawak.

Katanya orang ramai boleh mendapatkan vaksin anti-rabies anjing percuma di mana-mana pejabat veterinar kerajaan pada waktu pejabat.

Rundi menambah vaksinasi besar-besaran juga akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dan akan dimaklumkan di akaun Facebook rasmi DVS Sarawak.

“Tahun ini kami menyasarkan untuk memberi vaksin sehingga 50,000 ekor anjing,” katanya.

Sementara itu, Rundi mengingatkan pemilik anjing supaya tidak membiarkan anjing mereka berkeliaran di jalan raya kerana mereka boleh didenda sehingga RM5,000 di bawah Seksyen 37 (3), VPHO 1999 atau sehingga RM2,500 di bawah Seksyen 37 (4).

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri, Sarawak merekodkan 16 kematian tahun lalu daripada 18 kes jangkitan rabies ke atas manusia.

Jumlah kumulatif kes rabies ke atas manusia kini berjumlah 73, dengan 66 kematian sejak Julai 2017.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan pergi ke klinik jika digigit haiwan berkenaan. – Wires NSTP

Loading...
Terkini