comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua juta kenderaan sehari dijangka guna lebuh raya PLUS sempena Deepavali

Foto hiasan/ NSTP

PETALING JAYA: Sebanyak 2 juta kenderaan sehari dijangka menggunakan lebuh raya kendalian Plus Malaysia Berhad (Plus) pada hari puncak sempena perayaan Deepavali, Ahad ini.

Justeru, jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan Balik Kampung dan Kembali ke Lembah Klang dikeluarkan Plus
pada 10 hingga 14 November ini.

TTA ini diharap membolehkan pengguna merancang perjalanan mereka di samping membolehkan Plus mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan tertumpu di satu-satu lokasi secara serentak.

Meskipun begitu, kelancaran perjalanan trafik turut bergantung kepada kejadian luar jangka seperti kemalangan dan sebagainya yang boleh mengganggu perjalanan di lebuh raya.

“Oleh itu, Plus menasihatkan orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan TTA yang dikeluarkan bukan sahaja bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang untuk balik kampung tetapi bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang selepas bercuti.

“Jadual TTA itu boleh diperoleh menerusi laman web PLUS di www.plus.com.my serta laman media sosial Plus Malaysia.

“Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Aplikasi X @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran radio utama negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Pada masa sama, Plus juga akan memperkenalkan pendekatan terbaharu secara digital iaitu Program Rintis My-TTA yang menggunakan Aplikasi Plus bagi membantu orang ramai merancang perjalanan sempena perayaan Deepavali dalam masa terdekat.

Loading...
Terkini