comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua mayat ditemui terapung dalam tasik

Oleh Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Dua mayat ditemui terapung dalam tasik di Taman Tasik Metropolitan Kepong di sini, hari ini.

Komander Operasi, Mohamad Hasbullah Naimi Mahmood berkata,  Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur digegaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.21 pagi dan mendapati dua mayat berada di dalam tasik iaitu seorang wanita dan seorang lelaki.

“Mangsa seorang wanita berusia 30 tahun terapung sebelum berjaya diangkat pasukan ke darat. Manakala seorang lelaki berusia 72 tahun tenggelam ditemukan anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan kejadian berkenaan.

Kedua-dua mayat katanya ditemui  lengkap berpakaian.

Mengikut keterangan saksi kejadian itu,  dia melihat seorang lelaki sedang mengheret mayat wanita yang lemas di dalam tasik.

“Saksi cuba memujuk individu tersebut untuk naik ke tebing tetapi tidak dipedulikan, dan terus menuju ke arah tengah tasik sehingga lemas,” ujarnya dalam  kenyataan media.

Kedua-dua mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.

 

 

Loading...
Terkini