comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua pemuda keluar memancing ditemukan lemas 

Mayat kedua-dua mangsa lemas dibawa menaiki ke kenderaan polis. – Foto: Ihsan APMM

LABUAN: Dua lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di perairan pantai Kiamsam di sini, kelmarin, ditemukan lemas.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, mayat mangsa pertama, Yassin Jhonal, 20, dijumpai 5.20 petang semalam manakala jasad Mohd Shah Nadzmin, 19, ditemukan dua minit selepas itu.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa ditemui bot nelayan tempatan dan dibawa oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Pengkalan Hadapan Carilamat (PHC).

“PHC melaporkan penemuan mayat pertama pada kedudukan 0.5 batu nautika dari pantai Kiamsam pada 5.20 petang semalam.

“Seterusnya, lokasi penemuan mayat kedua pula hampir 10 meter dari mayat pertama pada 5.22 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Keluarga kedua-dua mangsa sudah dihubungi bagi proses pengecaman mayat.

Menurut Nudin, operasi pencarian ini diselaraskan PHC dan disertai pasukan Polis Marin (PPM), JBPM serta nelayan tempatan.

Kedua-dua mangsa dilaporkan hilang selepas keluar memancing di perairan Kiamsam, pada jam 6 petang kelmarin dan hanya bot dinaiki mereka ditemui terapung berdekatan jeti Kiamsam.

Loading...
Terkini