RAWANG: Dua mangsa rentung selepas kereta dinaiki mereka terbakar selepas bertembung dengan lori kontena di Jalan Kuala Garing, Rawang, di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata mangsa terdiri daripada dua warga tempatan iaitu lelaki berusia 26 tahun dan wanita berusia 23 tahun.
“Kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Honda City terbakar 70 peratus, manakala sebuah lori kontena juga terbakar sebanyak 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu lori kontena terselamat selepas sempat keluar daripada kenderaan.
Terdahulu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 3.53 pagi.
“Sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikerah ke lokasi kejadian, ” katanya.