comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua sungai di Rompin lepasi paras bahaya

Keadaan jalan masuk ke Perwira Jaya dan Selancar, Rompin runtuh akibat banjir.

KUANTAN: Paras air dua sungai di Rompin iaitu Sungai Pukin dan Sungai Keratong di Jambatan Bahau, Keratong melepasi paras bahaya setakat jam 5 petang, hari ini.

Menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Pukin merekodkan bacaan 46.41 meter (m), manakala Sungai Keratong pula mencatat 24.91m.

Tiga sungai pula merekodkan bacaan air sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis; Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut dan Sungai Belat di Seri Damai, Kuantan.

Paras air Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Jempol di Rancangan Felda Jengka, Maran dan Sungai Maran di bandar Maran, Maran melepasi paras waspada.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Pahang sehingga esok.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, amaran hujan berterusan bahaya membabitkan tiga daerah di Pahang iaitu Bera, Pekan dan Rompin.

Amaran hujan berterusan tahap buruk turut membabitkan daerah Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Kuantan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Rompin dalam kenyataan hari ini, memaklumkan laluan masuk ke Perwira Jaya dan Selancar di Rompin ditutup kepada semua kenderaan berikutan jalan terbabit runtuh akibat arus deras susulan hujan lebat, hari ini.

Penutupan jalan terbabit bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Loading...
Terkini