comscore
Tumpuan :
Nasional

ECRL: Penjimatan RM11.01 bilion berbanding kos asal

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijimatkan sebanyak RM11.01 bilion berbanding kos keseluruhan asal berjumlah RM85.97 bilion yang ditetapkan pada 2016.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun ada penambahan permohonan dari segi kos berikutan laluan yang baharu dan projek tersebut masih terikat dengan perjanjian yang lama namun kos keseluruhan projek yang menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur sepanjang 665 kilometer itu lebih rendah.

“Walaupun ada sedikit penambahan kerana pembiayaan tambahan bagi menampung penjajaran semula projek ECRL yang kita luluskan, tetapi ini menyebabkan keseluruhan kos itu diturunkan sebanyak RM11.01 bilion,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Perdana Putra di sini hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kerja Raya yang membantu mempercepatkan proses rundingan yang akhirnya menurunkan kos keseluruhan berbanding jumlah kos yang diluluskan pada 2016.

Di samping itu, Anwar berkata, keputusan kerajaan meneruskan dan tidak membawa banyak perubahan kepada projek ECRL yang merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor kerana ia akan melambatkan proses pelaksanaan dan menyulitkan kerja-kerja serta rundingan sedia ada.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi jaminan bahawa projek mega dan berskala besar seperti ECRL, Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3) akan diteruskan seperti biasa.

Ketika ini, kemajuan keseluruhan projek ECRL berada pada sekitar 35.9 peratus selain dijangka beroperasi pada Januari 2027 dengan keupayaan memuatkan sebanyak 440 penumpang bagi satu-satu perjalanan.

Loading...
Terkini