comscore
Tumpuan :
Nasional

Elak tayar lori tertanggal, dua lelaki maut kemalangan

Motosikal mangsa yang masuk ke dalam longkang selepas terlanggar tayar gantian sebuah lori komersial yang tertanggal di tengah jalan di Kilometer 7, Jalan Penampang ke Kota Kinabalu hari ini.

PENAMPANG: Dua lelaki maut apabila motosikal dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam longkang ketika cuba mengelak tayar lori yang tertanggal di Kilometer 7, Jalan Penampang-Kota Kinabalu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kedua-dua mangsa usia 27 dan 17 tahun disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang bergerak dari arah Penampang menuju ke Kota Kinabalu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar gantian lori komersial berkenaan dikatakan tertanggal dan jatuh di atas jalan.

“Ketika kejadian, dua motosikal yang bergerak dari arah sama cuba mengelak sehingga motosikal mangsa yang maut terjunam ke dalam longkang.”

“Akibat kejadian itu, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda 150 mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Erwansyah berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses besah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis memohon saksi kejadian supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, Erwansyah menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya.

Operasi mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa dijalankan oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini