comscore
Tumpuan :
Nasional

Elak tempat tidak sesuai untuk berdoa seperti di kubur orang kafir

Tangkap layar video tular oleh sebuah portal memaparkan beberapa pemimpin agama hadir ke upacara memperingati ulang tahun ke-55 rusuhan kaum di tapak perkuburan khas di Sungai Buloh dan bergilir-gilir membaca doa mengikut agama masing-masing di kubur bukan Islam. – Foto tular.

GEORGE TOWN: Penganut Islam yang ingin berdoa dinasihati supaya memilih tempat yang baik seperti di dalam masjid, bilik khusus bagi solat dan sebagainya, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata seseorang muslim perlu mengelak berdoa di tempat yang tidak sesuai seperti di tepi tandas, di bawah tangga dan sebagainya lebih-lebih lagi di kubur orang kafir.

“Adalah dikhuatiri sekiranya Allah SWT menurunkan azab ke atas penghuni kubur itu maka azab berkenaan akan meliputi bersama mereka yang hadir dan berdoa di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video tular yang dilapor sebuah portal memaparkan sekumpulan individu melakukan upacara memperingati ulang tahun ke-55 rusuhan kaum di tapak perkuburan khas di Sungai Buloh, semalam.

Beberapa pemimpin agama termasuk Islam turut hadir dan mereka bergilir-gilir membaca doa mengikut agama masing-masing.

Tindakan pemimpin agama Islam yang membaca doa di kubur bukan Islam itu mendapat pelbagai reaksi warganet.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata orang Islam bagaimanapun harus berdoa bagi perpaduan antara warganegara yang terdiri daripada penganut pelbagai agama.

Katanya, seseorang Muslim juga harus memohon doa supaya dikurnia kebaikan oleh Allah SWT kepada orang bukan Islam atau kafir seperti kesihatan tubuh, murah rezeki, banyak harta, beranak pinak dan sebagainya.

“Malah harus juga mendoakan supaya Allah SWT memberi hidayah-Nya kepada kaum keluarga, rakan atau jiran tetangga kepada agama Islam.”

“Bagaimanapun adalah dilarang atau haram memohon keampunan Allah SWT bagi orang kafir yang sudah mati.”

“Larangan ini difahami daripada firman Allah di dalam al-Quran, surah at-Taubah ayat 113 bermaksud ‘Tidak wajar bagi Nabi dan orang beriman memohon keampunan untuk golongan musyrikin sekalipun mereka itu kaum keluarga (seseorang) setelah ternyata bahawa mereka itu penghuni neraka (disebabkan kesyirikan mereka)’,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini