comscore
Tumpuan :
Nasional

Empat dituduh di mahkamah, kes seleweng Pakej Rangsangan Ekonomi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR: Empat individu dituduh di mahkamah berhubung kes penyelewengan RM92.5 juta dari Pakej Rangsangan Ekonomi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

“SPRM telah pun membuka beberapa kertas siasatan berkenaan dengan isu penyelewengan Pakej Rangsangan Ekonomi.

“Buat masa ini, terdapat empat individu telah dituduh di mahkamah berhubung kes ini,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan menerusi laman web Parlimen semalam.

Tambah beliau, beberapa kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan itu.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) yang meminta kerajaan menyatakan status siasatan terhadap dakwaan penyelewengan RM92.5 juta dari Pakej Rangsangan Ekonomi termasuk tindakan diambil.

SPRM sebelum ini dilaporkan memulakan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan RM92.5 juta yang diperuntukan untuk pakej rangsangan pandemik COVID-19 ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

SPRM dalam kenyataan sebelum ini berkata, Kementerian Kewangan sudah memberikan perincian dana berkenaan di bawah pakej rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan COVID-19.

Menurut SPRM sebanyak RM530 bilion diperuntukkan dan daripada jumlah itu RM92.5 bilion adalah membabitkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan dana kerajaan.

Loading...
Terkini