comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Empat lelaki mengaku salah terbabit rusuhan di Stadium Perak

Empat lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan merusuh. – FOTO: NSTP

IPOH: Empat penyokong bola sepak termasuk seorang remaja bawah umur mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan merusuh di Stadium Perak, Sabtu lalu.

Tertuduh iaitu Muhammad Aiman Firdaus Badrul Hisam, 21; Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 25; Muhammad Hayyan Sufi Mohd Sabri, 19; dan remaja berusia 17 tahun membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, S Punitha.

Muhammad Aiman, Mohamad Amirul, dan Muhammad Hayyan masing-masing didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda manakala mahkamah menetapkan 28 Jun untuk sebutan semula kes remaja bawah umur berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa secara bersama melakukan kesalahan merusuh pada 9.17 malam, 20 Mei lalu ketika perlawanan Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak, Jalan Kompleks Sukan Ipoh.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.

Sementara menunggu tarikh sebutan semula kes bagi remaja itu, mahkamah menawarkan jumlah jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin yang ditetapkan hanya kepada sama ada ibu bapa atau penjaga remaja itu.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan ke atas keempat-empat tertuduh dengan mengambil kira kes berkenaan membabitkan kepentingan awam yang mana kejadian merusuh itu bertentangan dengan norma masyarakat di negara ini selain berlaku di tempat awam.

Loading...
Terkini