comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Enam motosikal rosak dihempap batu akibat proses luluhawa di Gua Kelam

PADANG BESAR: Sebanyak enam buah motosikal yang diparkir di kawasan Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam, Pekan Kaki Bukit, di sini rosak selepas dihempap runtuhan batu tengah hari tadi.

Kejadian berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari dan tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Sebahagian kerosakan susulan kejadian batu runtuh dipercayai berpunca akibat proses luluhawa di Gua Kelam, Pekan Kaki Bukit, Padang Besar di sini hari ini. Foto ihsan orang awam.

Pengarah Perhutanan Negeri Perlis, Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata kawasan berkenaan terletak di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Lokasi kejadian terletak sekitar 30 meter di sebelah kanan pintu masuk Gua Kelam 1 yang juga tapak parkir motosikal orang awam.

“Kejadian runtuhan kecil batu di kawasan gua itu berlaku dari ketinggian antara 10 hingga 20 meter dipercayai disebabkan kejadian semulajadi akibat proses luluhawa iaitu satu proses penyepaian, pemecahan dan penguraian atau pereputan batuan di kawasan gua itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Ag Shaffie kejadian itu adalah yang pertama berlaku di kawasan berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Katanya, untuk langkah keselamatan, pihaknya sudah pun menutup waktu aktiviti memasuki Gua Kelam 1 sehingga diberitahu kelak.

“Namun begitu, penutupan itu tidak menjejaskan aktiviti lain di Gua Kelam 2 seperti aktiviti mandi manda, pameran galeri serta Rumah Cermin yang terus dibuka kepada pengunjung,” katanya.

Jelas Ag Shaffie, satu kajian lanjut akan diselaraskan bersama pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk menilai kawasan tebing bukit sekitar kawasan Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Tinjauan di kawasan itu mendapati walaupun Gua Kelam 1 sudah ditutup, orang ramai masih terus berkunjung ke kawasan Gua Kelam 2 berikutan cuti Hari Pekerja pada hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini