comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Erdogan saran Malaysia dan Turkiye cari jalan tangani Islamofobia – PM

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Presiden Recep Tayyip Erdogan menyarankan Malaysia dan Turkiye mencari jalan serta menjalin kerjasama dalam menangani isu Islamofobia.

Menurutnya, Erdogan memaklumkan perkara itu kepada beliau menerusi perbualan telefon tiga hari lalu.\

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Foto NSTP

“Beliau memang kerap telefon, kurang-kurang sebulan sekali, cakap pelbagai hal, hal keluarga, sembang-sembang… dan beliau cadangkan kami berdua cari jalan untuk tingkatkan usaha jadi benteng melawan serangan Islamofobia, beliau tak suruh PAS, dia lagi tak kenal Presiden BERSATU.

“Dia cadang kita buat, jadi saya kata boleh, saya minta dia siapkan jentera, cadangan dan beliau minta jumpa di New York ketika Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dijadualkan pada September ini, ” katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan MADANI Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Perdana Menteri berkata ini berikutan nama Malaysia diangkat kedudukannya di mata dunia dan yakin dengan keupayaan negara untuk turut serta dan menjadi benteng serangan Barat termasuk dalam isu pembakaran al-Quran.

Beliau berkata Malaysia bersikap tegas dalam perkara itu selain tidak mengizinkan penghinaan ke atas mana-mana agama dalam negara.

“Apa kita buat (dalam kes pembakaran al-Quran), yang pertama, kita bantah… Menteri Luar (panggil Duta Sweden) bagi ingatan… ini kerja biadab. Kita arahkan sejuta naskhah al-Quran kita diedar ke seluruh dunia dan 15,000 naskhah dalam Bahasa Sweden kita hantar ke Sweden, itu cara kita balas (perbuatan membakar al-Quran) kepada mereka,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata tempoh kempen PRN yang melibatkan kerjasama PH serta UMNO dan kini memasuki babak akhir merupakan percubaan baharu bagi menguatkan semangat perpaduan demi menyelamatkan negara serta mengangkat semula Malaysia sebagai negara hebat di mata dunia.

“Dalam rundingan antara PH dan UMNO, kita putuskan pertama, (hormati) prinsip Perlembagaan, PH setuju UMNO lebih lagilah, kita nak selamatkan negara ini dan membawa perubahan… kalau nak angkat martabat orang Melayu dan lain-lain, jadikan Malaysia negara ulung di Asia Tenggara.

“Kita kena anjak cara lama kepada cara baharu, dan ini yang kita lakukan,” katanya yang turut menyeru pengundi memilih calon yang diketengah oleh parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan agar kaum lain berasa selamat dan tidak diketepikan oleh mana-mana pihak. – BERNAMA

Loading...
Terkini