comscore
Tumpuan :
Nasional

Esma ‘buang’ rokok lepas kena angin amar

Esma sudah lebih sebulan berhenti merokok. – Foto: NSTP

HULU KLANG : Diserang angin ahmar pada 11 November lalu, pelakon Esma Daniel, 55,  mengambil keputusan berhenti merokok.

Selepas menjalani rawatan ‘trombektomi endovaskular’ iaitu kaedah rawatan terkini mengeluarkan darah beku yang tersumbat dalam saluran di otak, Esma sudah lebih sebulan meninggalkan tabiat merokok.

“Sebenarnya, saya dikenali dengan gaya hidup aktif. Namun, pada masa sama, saya merokok dan ada masalah hipertensi. Jadi, walaupun kita aktif, apabila tidak dihindari (rokok), ia menyebabkan saya diserang angin ahmar.

“Ini memberi kesedaran kepada saya meninggalkan tabiat merokok. Saya boleh diserang strok kali kedua kerana rokok. Memang ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi, kita harus berusaha lebih baik untuk menjaga kesihatan kita.

“Selepas terkena serangan strok itu, saya terus nekad untuk berhenti merokok. Alhamdulillah, saya sudah lebih sebulan bebas daripada rokok,” katanya ditemui pada program sumbangan bantuan industri kreatif kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri di di Pawagam Mini P Ramlee, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di sini, semalam.

Bulan lalu, Esma yang juga bekas juara Hero Remaja edisi 1990/1991 terkena serangan angin ahmar sebaik melakukan rutin larian selepas makan malam bersama isterinya, Nur Atira Mazlan, 31.

Berkongsi situasi ketika itu, Esma berkata, pada mulanya, dia menyedari keadaannya berbeza apabila tangan kirinya tidak mampu mengangkat gelas sebelum wajah senget sebelah.

“Secara tiba-tiba, saya rasa tangan kiri tidak dapat angkat gelas. Isteri juga tengok muka saya agak senget. Apabila saya cuba bangun, kaki kiri terlalu lemah hingga hampir tumbang dan disambut isteri,” katanya.

Loading...
Terkini