comscore
Tumpuan :
Nasional

Langgar maut pelajar: Bapa Zaharif belum jamah makanan sejak peristiwa hitam

IPOH: Sejak kejadian sehinggalah hari ini, bapa kepada pelajar lelaki 17 tahun yang maut dilanggar kereta, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, tidak mampu menjamah makanan kerana sentiasa terkenang arwah anaknya Muhammad Zaharif Affendi.

“Sampai hari ini pun, dia (Muhd Zamrie) masih belum makan apa-apa, kecuali air (minum) sahaja. Dia tidak boleh makan… apabila teringat dekat anak, dia tak mampu nak suap makanan, nasi pun tak boleh, air saja yang boleh tampung,” kata ibu mangsa, Mimi Julia Ismail, 50, di rumah mereka.

Mimi Julia dalam sebak menyatakan, beliau masih tidak dapat menerima cara arwah anaknya itu meninggal dunia.

“Saya memang tidak boleh terima anak saya mati dibunuh. Kalau dia mati kerana merempit (menunggang motosikal secara berbahaya) pun saya tak kisah, tetapi dengan niat…. kenapa dia kena langgar sampai macam itu, polis pula itu, dia tahu undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Muhd Zamrie berkata beliau tidak boleh berada dalam situasi tertekan kerana keadaan itu boleh menyebabkan dia rebah.

“Saya cerita berterus terang, saya baru sahaja lepas membuat operation bariatric, lebih kurang dalam satu tahun. Jadi masalah pemakanan saya memang kurang. Saya tak boleh di bawah tekanan, apabila bawah tekanan ataupun terlampau letih saya akan tumbang, itu sahaja,” katanya.

Petang semalam, Muhd Zamrie rebah semasa Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri tiba di kediamannya.

Beliau ditenangkan oleh Mohd Yusri serta orang sekeliling yang bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, 15 Disember lalu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Chemor maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar dan diseret sebuah kereta berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini