comscore
Tumpuan :
Nasional

ESSCOM cadang peta ESS Zone ‘diputihkan’, tukar jadi kawasan sejahtera

ESSCOM mencadangkan supaya peta Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) ditukar kepada warna putih dan menamakannya sebagai kawasan kesejahteraan. Foto fail.

KINABATANGAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mencadangkan kepada kerajaan untuk menukar peta Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) kepada warna putih berbanding merah ketika ini dan menamakannya kawasan kesejahteraan.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata cadangan ini sekali gus mengangkat semula imej ESS Zone sebagai kawasan selamat dan sejahtera ke peringkat antarabangsa.

“ESSCOM mengangkat cadangan kepada kerajaan untuk menukar peta ESS Zone yang kini menggunakan warna merah kepada warna putih dan menamakannya sebagai kawasan kesejahteraan bagi meningkatkan keyakinan bahawa kawasan pantai Timur Sabah adalah selamat untuk semua.”

Menurut Victor, selain itu pihak ESSCOM juga kita berusaha memanggil duta-duta asing datang melawat ke kawasan pantai Timur Sabah dan merasai sendiri keindahan dan kesejahteraan di ESS Zone.

Victor bersama pegawai dan komuniti ESS Zone ketika merasmikan Sesi Libat urus ESSCOM di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sesi Libat Urus ESSCOM bersama Komuniti ESS Zone Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag, di sini, hari ini.

Kira-kira 300 warga Kinabatangan hadir menjayakan sesi libat urus berkenaan.

Mengulas lanjut, Victor berkata tujuan libat urus adalah untuk meneliti penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar dalam sektor terlibat terhadap langkah penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ESS Zone.

Pada masa sama, ia dapat menganalisis keberkesanan pelaksanaan arahan berkenaan.

Victor bersama pegawai dan komuniti ESS Zone ketika merasmikan Sesi Libat urus ESSCOM di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.

Tambah Victor, langkah itu dapat membantu mengenal pasti ancaman sedia ada dan mengkaji hala tuju dari segi pengecilan kawasan PKP ESS Zone Sabah atau memansuhkan perintah berkenaan secara menyeluruh atau hybrid.

 

“Seterusnya, kajian ini akan turut meneliti mekanisme alternatif bagi menggantikan arahan berkenaan sekiranya diputuskan untuk dimansuhkan pelaksanaannya,” katanya.

Pada majlis itu, Victor turut mengajak warga Kinabatangan yang hadir ke sesi libat urus ini supaya menjawab soal selidik mengenai kajian PKP ESS Zone Sabah dengan sebaik mungkin supaya kajian yang dijalankan mendapat hasil yang komprehensif dan bermanfaat untuk negeri Sabah dan Malaysia.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan aluan, Pegawai Daerah Kinabatangan, Willey Lampaki mengingatkan warga Kinabatangan bahawa tugas menjaga keselamatan negara adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia dan bukan hanya terletak di bahu pihak keselamatan semata-mata.

Selain Kinabatangan, kajian PKP ESS Zone Sabah yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri serta diselaraskan oleh ESSCOM dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah turut diadakan di lima lagi daerah terlibat PKP ESS Zone Sabah iaitu Semporna, Sandakan, Beluran, Kunak dan Lahad Datu.

Turut diadakan ketika libat urus itu, penyampaian sumbangan kepada 50 golongan asnaf dari sekitar Kinabatangan sempena bulan Ramadan yang mulia ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini