comscore
Tumpuan :
Nasional

Faktor muka bumi, liputan komunikasi, cabaran SAR dua pemburu hilang

Pasukan SAR yang berdepan pelbagai cabaran dalam misi mencari dan menyelamat dua lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, diteruskan hari ini. Foto ihsan JBPM Tawau

TAWAU: Cabaran bentuk muka bumi antara kesukaran dihadapi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian lelaki berumur 33 tahun bersama anak saudaranya, 11 tahun yang dilaporkan hilang ketika keluar berburu sejak 24 Jun lalu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata selain faktor muka bumi dan kawasan hutan yang luas, pihaknya juga berdepan masalah kekurangan maklumat selain ketiadaan liputan talian telefon sehingga menyukarkan komunikasi.

Menurutnya, jaringan komunikasi adalah keperluan penting kepada pasukan SAR bagi memastikan koordinasi antara pasukan dan agensi yang terbabit di lokasi bencana dapat dilaksanakan secara efektif. Beliau berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran ia tidak mematahkan semangat anggota dan pasukan SAR untuk terus melancarkan misi menyelamat. Misi itu yang memasuki hari ke-4 hari ini bermula kira-kira jam 6 pagi tadi selepas ditangguhkan lewat petang semalam.

“Menerusi operasi SAR yang dilacarkan semalam juga, kita turut mendapat khidmat bantuan empat orang daripada Pasukan SAPURA (komunikasi) yang turut menyertai operasi pencarian. Pada masa sama, Pusat Khidmat Operasi Bencana (PKOB) juga akan dipindahkan ke kawasan lain mengikut kesesuaian lokasi pencarian yang turut diperluaskan sejauh sepuluh kilometer,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Jemishin berkata walaupun sudah lebih seminggu dilaporkan hilang, namun pasukan penyelamat tetap optimis kedua-dua mangsa dapat ditemukan dengan selamat.

“Kita yakin, mangsa masih berpeluang ditemukan selamat sekiranya mempunyai kemahiran atau ikhtiar hidup kendiri dalam hutan,’ katanya.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Iwan Musakir bersama anak saudaranya, Al Fajri Anto dikhuatiri hilang selepas keluar berburu di kawasan hutan berhampiran Ladang OP 6 Usahawan Borneo Brumas, dekat sini, sejak Sabtu minggu lalu. Mereka dikatakan keluar berburu dalam kumpulan seramai lapan orang sebelum berpecah kepada beberapa kumpulan kecil ketika di dalam hutan.

Operasi SAR yang dilancarkan sejak kelmarin (Khamis) bagaimanapun gagal menemukan sebarang petunjuk dan kedua-duanya masih belum berjaya ditemukan.

Loading...
Terkini