comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencarian Zulkarnain, diteruskan esok pagi – Maritim Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk di sini akan disambung esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid memaklumkan operasi mencari Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, ditangguhkan pada 7 petang tadi ekoran ombak bergelora.

Katanya pencarian akan bersambung semula pada jam 7 pagi esok.

“Mangsa dikenali sebagai Zulkarnain Mohamed Zubir, dikhuatiri lemas ketika berenang di pantai berkenaan selepas beliau datang untuk beriadah bersama keluarga sempena cuti sekolah.

“Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) telah diaktifkan pada jam 12.15 tengah hari tadi oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Khairulanuar berkata, pangkalan hadapan carilamat turut ditubuhkan di lokasi kejadian bagi menyelaras operasi tersebut.

Tiga aset iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah diatur gerak bagi melakukan pencarian di lokasi tersebut.

Tambahnya sektor pencarian bertumpu kepada jarak 1 batu nautika radius dari kawasan mangsa disyaki hilang.

Dalam pada itu beliau juga menasihatkan orang ramai untuk menekankan kepentingan menjaga keselamatan ketika beriadah di laut bagi mengelakkan kejadian sedemikian daripada berlaku.

“Kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim amat diperlukan bagi memaklumkan pengunjung tentang keselamatan.

Terdahulu media melaporkan percutian empat sekeluarga di Pantai Batu Buruk bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas kira-kira jam 11.20 pagi tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini