comscore
Tumpuan :
Nasional

11 keluarga dipindahkan akibat banjir di Tawau

Oleh: Safwan Sawi

TAWAU: Sebanyak 11 keluarga di Kampung Rawa-Rawa, Batu 4 Jalan Apas, di sini, dipindahkan ke kawasan selamat berikutan banjir yang melanda kawasan itu, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.27 pagi.

Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, kawasan kampung berkenaan sudah mengalami banjir dan beberapa rumah turut dinaiki air.

“Pasukan bomba terus menjalankan operasi dan seramai 12 penduduk dipindahkan ke kawasan selamat,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba membuat pemantauan di kawasan kampung berkenaan dan sekitarnya sebagai langkah berjaga-jaga.

“Setakat ini, tiada laporan mengenai kecederaan terhadap mangsa dan operasi ditamatkan pada jam 7.28 pagi sebaik paras air mula surut,” katanya.

Terdahulu, berdasarkan pemerhatian, aliran trafik dari jalan utama Batu 3 hingga bulatan Batu 4 Jalan Apas perlahan berikutan air naik sehingga ke jalan raya.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut kelihatan membantu di sekitar kawasan berkenaan bagi kelancaran aliran trafik.

Loading...
Terkini