comscore
Tumpuan :
Nasional

FAMA jamin bekalan bahan mentah untuk Aidiladha cukup

SHAH ALAM : Orang ramai tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan bekalan daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa menjelang sambutan Aidiladha kerana Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan di setiap lokasi mencukupi.

Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata orang ramai boleh mendapatkan barangan terbabit di Program Jualan Khas Aidiladha MADANI yang dilancarkan sejak semalam sehingga Rabu depan.

Program yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu menyasarkan nilai jualan RM11 juta.

Ia melibatkan lebih 20,000 usahawan di 203 outlet pemasaran FAMA seluruh negara yang merangkumi Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok (MNS).

“FAMA menyasarkan nilai jualan bagi komoditi ayam sahaja sebanyak RM440,000 bersamaan 30,000 ekor dan komoditi daging bernilai RM220,000 bersamaan 6.2 tan untuk jualan kali ini,” katanya selepas melancarkan Program Jualan Khas Aidiladha MADANI peringkat kebangsaan di Pasar Tani Stadium Shah Alam di sini hari ini.

“Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang mendapatkan bekalan juadah Aidiladha seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih di Program Jualan Khas Aidiladha MADANI ini,” katanya.

Pada majlis sama beliau turut melancarkan jualan istimewa Kombo MADANI yang menawarkan seekor ayam, serai, lengkuas, halia dan daun kunyit dijual pada harga RM10 per unit buat 100 pembeli sahaja. – BERNAMA

Loading...
Terkini