comscore
Tumpuan :
Nasional

Feri Terkandas Berjaya Ditunda Ke Jeti

Feri yang tersadai di perairan jeti Kuala Kedah berjaya ditunda ke Jeti Kuala Kedah. – FOTO: Ihsan APMM

ALOR SETAR: Feri penumpang yang terkandas di muara Kuala Kedah akibat air laut surut, petang semalam berjaya dibawa ke Jeti Feri Penumpang Kuala Kedah, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, berkata feri berkenaan ditunda bot tunda milik sebuah daripada syarikat kargo kira-kira jam 9.25 malam.

“Seramai 272 penumpang berjaya dibawa keluar secara berperingkat oleh bot PERKASA 1224 Maritim Malaysia, bot ronda PSC 19 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bantuan daripada beberapa bot nelayan tempatan sekitar Kuala Kedah serta Yan.
“Baki penumpang lain yang masih berada dalam feri yang berjaya ditunda ke jeti.

“Operasi memindahkan penumpang turut berdepan detik sukar dan beberapa kali enjin bot pasukan penyelamat tersekat disebabkan air cetek serta permukaan lantai laut berselut,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Azreyanti berkata, operasi dikendalikan Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi itu selesai dan dan ditamatkan jam 10 malam tadi.

Antara agensi dan jabatan terbabit bagi urusan pemindahan penumpang ialah JLM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Beliau mengingatkan pengendali feri penumpang supaya lebih berwaspada dan meningkatkan tahap pengetahuan mengenai pasang surut air laut dalam mengendalikan feri pada masa depan supaya insiden sama tidak berulang.

“Maklumat kecemasan juga sewajarnya dilapor terus kepada Maritim Malaysia melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 supaya bantuan segera dapat diberikan,” katanya.

Dalam insiden semalam, sebuah feri penumpang Express Bahagia 98 terkandas di posisi 1.2 batu nautika dari muara Kuala Kedah yang membabitkan 547 penumpang.

Kejadian menyebabkan beberapa penumpang mengalami simptom sesak nafas.

Loading...
Terkini