comscore
Tumpuan :
Nasional

Singgah, tidak ikut berlumba – Haqiem Stopa

Foto: Haqiem Stopa/ Instagram

KUALA LUMPUR:  Ikon sukan permotoran, Haqiem Stopa mengakui singgah untuk melihat perlumbaan haram di Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah malam kelmarin.

Kata Haqiem, dia bukannya ikut berlumba sekali ketika itu.

Itu penjelasan yang diberikan Haqiem, 23, yang juga pempengaruh media sosial ketika diminta mengulas mengenai salah faham segelintir netizen selepas tular berita dan gambar penahanannya dalam Op Samseng Jalanan pada malam Aidiladha yang lalu.

Artikel berkaitan: ‘Influencer’ antara lebih 200 ditahan malam raya

Berikutan itu, Haqiem yang sebelum ini dipersoalkan kerana jolokan Ikon Permotoran sekali lagi mendapat kecaman netizen membabitkan dirinya dengan kegiatan haram itu.

“Kebetulan saya ada di situ jadi pergi tengok dan duduk di tepi saja.“Bagaimanapun, saya akui apa dilakukan itu pun satu kesalahan.

“Cuma mungkin jadi isu kerana saya Haqiem Stopa, nama yang orang kenal, jika bukan sesiapa pasti tak diperkatakan pun,” katanya.

Menurut Haqiem, dia memberi kerjasama baik dengan pihak polis selepas ditahan termasuk dengan memberi keterangan sebelum dibebaskan.

“Cuma, perancangan balik beraya saja tergendala.“Sepatutnya saya balik ke Kelantan malam berkenaan untuk menyambut Aidiladha semalam dengan keluarga tetapi terpaksa ditangguhkan.

“Emak dan ayah ada tanya saya apa yang berlaku namun saya sudah jelaskan kepada mereka perkara sebenar,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seramai 284 individu termasuk 10 remaja bawah umur ditahan dalam Op Samseng Jalanan pada malam Aidiladha di Jalan Pegawai di sini, malam kelmarin.

Loading...
Terkini