comscore
Tumpuan :
Hiburan

Polis Evo 3 masuk pawagam Mei depan

KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua tahun tayangan tertangguh akibat penularan pandemik COVID-19, filem aksi, Polis Evo 3 dijangka menemui penonton di pawagam tempatan, Mei depan.

Pemilik empayar Skop Production, Datuk Yusof Haslam mengesahkan filem Polis Evo 3 sudah sedia dipertontonkan dengan versi diberi penambahbaikan agar naskhah terbabit lebih mantap.

“Polis Evo 3 berkemungkinan ditayangkan ditayang selepas Aidilfitri iaitu pada Mei depan. Bagaimanapun, kami masih belum dapat tarikh tayangan yang tepat lagi.

“Setakat ini, semuanya lancar biarpun pengarahnya, Syafiq Yusof beritahu mereka menambah beberapa hari lagi untuk sesi penggambaran.

“Langkah ini diambil bagi menambah baik filem ini. Apa yang saya lihat, hasilnya sangat memuaskan dan menarik untuk ditonton.”Jadi, beberapa bulan berbaki ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk tujuan suntingan dan sentuhan terakhir sebelum Polis Evo 3 ditayangkan,” katanya.

Yusof berkata, jalan cerita Polis Evo 3 berbeza dengan dua versi awal yang dipertontonkan sebelum ini.”Selain aksi, kali ini ada selingan komedi dan ia dilihat menjadi.

Maka, jalan ceritanya tidaklah terlalu berat.”Ada babak yang serius dan santai. Konsep asal dan formula filem ini masih dikekalkan tetapi kali ini saya fikir lebih baik.

“Daripada penceritaan, visual dan babak aksi bagi saya, lebih menarik berbanding dua filem sebelum ini. Saya lihat banyak peningkatan yang dilakukan Syafiq,” katanya.

Ditanya mengenai kerisauan terhadap penularan varian baharu COVID-19 yang dikhuatiri menjejaskan operasi pawagam, Yusof berharap ia tidak kembali merencatkan industri perfileman negara.

Malah, Yusof mengakui tidak sanggup jika negara sekali lagi terpaksa berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan pelbagai syarikat menanggung kerugian besar.

“Bukan saya seorang sahaja yang risau dengan situasi melanda negara ketika ini. Semua orang rasa perkara sama. Kalau pengusaha hotel risau, kami penggiat filem lagi risau.

“Tetapi saya harap, ini (varian baharu COVID-19) tidak memberi kesan serius terhadap pertumbuhan ekonomi negara termasuk industri perfileman.

Kalau sekali lagi hendak melalui fasa pandemik, saya rasa negara pun tidak mampu bertahan.”Dua tahun syarikat saya tersadai sebelum dan memberi kesan kepada pelbagai pihak.

Saya harap pandemik ini tidak berlaku lagi. Kalau terjadi juga, saya tak tahu nak kata. Tetapi kerajaan juga mungkin sudah ada perancangan sendiri,” katanya.Yusof berkata, beliau bagaimanapun tidak meletakkan sasaran kutipan filem Polis Evo 3.

“Sejak dahulu, saya tidak pernah letak sasaran. Saya cuma berdoa mudah-mudahan apa sahaja filem yang dihasilkan, berjaya dan berserah rezeki kutipan kepada Allah,” katanya.

Filem Polis Evo 3 masih mengekalkan bintang utamanya iaitu Shaheizy Sam dan Zizan Razak.

Ketika ditayangkan pada 2018, filem Polis Evo 2 arahan Joel Soh dan Adre Chiew meraih kutipan lebih RM20 juta selepas 17 hari ditayangkan di pawagam.

Filem itu berkisar sekumpulan pengganas menawan sebuah kampung dan menjadikan penduduk sebagai tebusan.

Loading...
Terkini