comscore
Tumpuan :
Nasional

FINAS jumpa penerbit filem Mentega Terbang, tuntut penjelasan langgar Akta 244

Md Nasir enggan menjelaskan terperinci tindakan yang bakal diambil terhadap penerbit filem Mentega Terbang berikutan kes masih disiasat polis.

HULU KLANG: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah memanggil dan menuntut penjelasan daripada penerbit Mentega Terbang berhubung dakwaan melanggar Akta FINAS 1981 (Akta 244).

Dakwaan membabitkan aktiviti pengeluaran dan tayangan tanpa lesen itu dibincang dalam pertemuan antara FINAS dan penerbit filem kontroversi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, bagaimanapun enggan memperincikan tindakan yang akan diambil terhadap penerbit iaitu Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment, berikutan kes mereka masih disiasat polis.

“FINAS sudah panggil penerbit filem itu untuk siasatan. Semua maklumat berkaitan juga sudah kami kumpul.

“Saya tidak boleh bercakap banyak mengenai perkara ini berikutan kes terbabit masih dalam siasatan polis. Kes ini agak rumit dan perlukan masa.

“Jadi, rasanya kami tidak boleh buat kenyataan sekarang kerana bimbang akan mengganggu siasatan polis,” katanya ditemui pada majlis sidang media Hari Seniman Kebangsaan (HSK) 2023 di Studio Sound Stage, Kompleks FINAS, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Bersama Sambutan HSK 2023, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar.

Filem Mentega Terbang arahan sutradara muda, Mohd Khairi Anwar Jailani, tular selepas dikecam mengandungi babak didakwa seakan-akan mempersendakan Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Filem berdurasi sejam 45 minit itu menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, di mana perbuatan itu bertentangan dengan Islam.

Selain itu, dialog watak kanak-kanak perempuan bernama Aishah menjadi perdebatan kerana dianggap boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan penonton.

Loading...
Terkini