comscore
Tumpuan :
Nasional

Gadis hidap talasemia terpaksa lupakan cita-cita jadi polis

 

Foto : NSTP

PASIR MAS: Seorang gadis terpaksa melupakan impian untuk menjadi anggota polis apabila dia diuji dengan penyakit talasemia sejak kecil.

Siti Norsahira Abdullah, 21, yang sebelum ini melanjutkan pelajaran dalam Diploma Kepolisan dan Penyiasatan di Kolej Unikop milik Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) di Cyberjaya, terpaksa menangguh pengajian akibat keadaan kesihatan semakin merosot.

Anak bongsu daripada lima adik beradik berkata, hampir setiap hari dia perlu menjalani rawatan.

“Suntikan ubat pada bahu atau perut ini mengambil masa selama berjam-jam dan dilakukan pada waktu malam ketika mahu tidur.

Saya perlu pastikan ubat ini diambil kerana jika tidak, badan saya akan menjadi lemah tidak berdaya.

“Selain itu, saya juga perlu memasukkan darah ke dalam badan sebanyak tiga hingga empat kali sebulan. Sebenarnya, sejak beberapa tahun lalu, sakit saya dilihat semakin reda sehingga saya mampu melanjutkan pelajaran namun ia kembali menyerang pada tahun lalu.

“Saya menghidap talasemia sejak berusia sembilan bulan tetapi Alhamdulillah, zaman persekolahan dapat dilalui dengan sebaiknya walaupun tidak dapat aktif dengan aktiviti luar,” katanya.

Nasib Siti Norsahira mendapat perhatian  wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar yang melawat gadis itu di rumahnya di Kampung Bendang Ikan, Baroh Pial, di sini, semalam.

Wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, (kanan) melawat pesakit talasemia, Siti Norsahira Abdullah, (tengah) di Kampung Bendang Ikan, Baroh Pial, Pasir Mas, Kelantan, semalam. –  Foto : NSTP

Menurut Siti Norsahira, dia reda dengan ujian yang menimpa namun  mahu terus bangkit sekurang-kurangnya bekerja bagi membantu keluarga terutama ibu, Siti Fatimah Awang Kechik, 52.

“Selain menderita talasemia, pihak hospital turut memaklumkan saya kemungkinan besar mengalami kebocoran injap jantung dan kini dalam proses pemeriksaan sama ada perlu menjalani pembedahan atau pun tidak.

“Saya akui risau jika ia membabitkan kos yang tinggi kerana kami sekeluarga hanya hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, katanya lagi.

Loading...
Terkini