comscore
Tumpuan :
Nasional

Gandingan Tengku Zafrul, Rafizi mampu beri impak positif kepada pasaran

Rafizi dan Tengku Zafrul dianggap sebagai generasi pelapis yang masih bertenaga untuk memberi sumbangan terbaik kepada negara.

KUALA LUMPUR: Pelantikan Rafizi Ramli sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan melantik mereka yang mempunyai pengalaman korporat dan latar belakang profesional.

Menurut penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff,  pelantikan menteri yang mempunyai pengalaman korporat dan latar belakang profesional bagi menguruskan hal ehwal ekonomi, kewangan, perdagangan serta pelaburan adalah gandingan yang berkesan untuk memberi keyakinan dan impak positif kepada pasaran.

Malah, beliau berkata, kedua-dua mereka juga dianggap sebagai generasi pelapis yang masih bertenaga untuk memberi sumbangan terbaik kepada negara.

Katanya, dengan Kementerian Kewangan kembali diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah dinamakan sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia turut mampu memberi impak positif kepada pasaran.

Tambahnya, dengan pengumuman tokoh korporat terkemuka negara yang diiktiraf antarabangsa, Tan Sri Mohd Hassan Marican yang akan mengetuai beberapa penasihat untuk membantu menguruskan Kementerian Kewangan juga mampu memberi keyakinan kepada pelabur.

“Saya bersetuju bahawa barisan Kabinet ini akan memberi impak positif kepada pasaran dan juga kepada keyakinan pelabur,” katanya kepada BH.

Tengku Zafrul sebelum ini dilantik sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin seterusnya dilantik semula ke jawatan yang sama pada 27 Ogos 2021, di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sepanjang tempohnya di Kementerian Kewangan, kerajaan melaksanakan lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion untuk menangani pandemik COVID-19.

Tengku Zafrul juga bertanggungjawab terhadap Pelan Pemulihan Negara dan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).

Sebelum dilantik dalam kerajaan, Tengku Zafrul ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd.

Sementara itu, Rafizi memulakan kerjaya dengan Jeffreys Henry Chartered Accountants, London dari 1999 sehingga 2003 dan lulus semua peperiksaan akauntan bertauliah dengan Institute of Chartered Accountants in England & Wales (ICAEW) dalam masa dua tahun.

Beliau juga diterima sebagai ahli ICAEW pada 2003, selepas tamat tempoh minimum latihan di firma perakaunan dan diterima sebagai ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA) pada 2003 apabila pulang ke Malaysia.

Rafizi kemudian berkhidmat di PETRONAS menjawat jawatan pengurus di bahagian Propane Dehydrogenation Plant sebelum dinaikkan pangkat kepada Pengurus Kanan (Perancangan Perniagaan, Operasi dan Teknologi Urusniaga Petrokimia) yang bertanggungjawab menguruskan kumpulan urus niaga petrokimia PETRONAS dengan aset melebihi RM30 bilion.

Beliau kemudian berkhidmat di Petronas Carigali Sdn Bhd (2007-2009) sebagai Pengurus Kanan, bertanggungjawab menguruskan hal ehwal kewangan 51 anak syarikat Petronas Carigali yang terbabit dengan operasi huluan di peringkat antarabangsa membabitkan belanjawan tahunan melebihi RM20 bilion.

Pada 2009 beliau memegang jawatan Pengurus Besar di Pharmaniaga Bhd seterusnya sebagai Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor sehingga 2012 sebelum mengasaskan sebuah syarikat, National Oversight & Whistleblowers Centre (NOW) (2012-2018 ) dan kini pengasas kepada syarikat bukan berasaskan keuntungan, INVOKE.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula menyifatkan keputusan yang dibuat Anwar untuk memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan mungkin mengambil kira situasi negara yang sedang melalui tempoh kritikal bagi menetapkan hala tuju ekonomi dan kewangan di saat pelbagai cabaran ekonomi dunia dan domestik yang melanda.

Beliau yakin dengan kelebihan rangkaian Anwar terutama di luar negara yang perlu diguna pakai untuk memperbetulkan kewangan negara seperti menurunkan paras hutang dan menarik pelabur asing.

Katanya, penasihat yang dilantik juga berupaya untuk membantu Kementerian Kewangan  mencipta formula lebih mantap dan terkini untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Anwar sebelum ini pernah memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan selama lapan tahun iaitu dari 1991 hingga 1998, yang mana sepanjang tempoh itu, beliau pernah dinamakan sebagai Menteri Kewangan Terbaik oleh Asiamoney pada 1996, manakala Euromoney menamakan beliau sebagai antara empat Menteri Kewangan terbaik.

Loading...
Terkini