comscore
Tumpuan :
Nasional

Gangguan LRT: MOT akan terus membantu

Foto: NSTP – Penumpang mendapatkan maklumat dari kakitangan yang bertugas untuk menggunakan bas perantara percuma untuk ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT)

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan terus memantau proses baik pulih sistem kawalan tren automatik (ATC) pada Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang mengalami gangguan operasi sejak Sabtu lalu.

Beliau dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya berkata, MOT akan berganding bahu bersama Pusat Kawalan Operasi (OCC) Laluan Kelana Jaya, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Rapid Rail dalam usaha menangani masalah terbabit.

“MOT akan memantau perkembangan ini dengan teliti dan memastikan keupayaan perkhidmatan pengangkutan awam terbabit dapat beroperasi dengan selamat tanpa kompromi.

“Pihak OCC sudah menguji sistem yang terjejas secara berterusan dan menjalankan simulasi pergerakan tren selang dua minit setengah dan menganalisis log data sejak beberapa hari lalu.

“Dua lagi pakar dari Thales Grpup Toronto, Kanada akan mula melakukan pemeriksaan serta-merta sejurus tiba. Sebelum ini, Prasarana dan Thales sudah berhubung rapat sejak Isnin lalu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan giat membantu dalam kerja penyelenggaraan supaya kemudahan awam terbabit dapat beroperasi secepatnya.

“Sudah tentu kami mahu sistem beroperasi lebih awal daripada penggantungan tujuh hari seperti yang diumumkan.

“Tetapi, apa yang paling penting, soal keselamatan penumpang sentiasa menjadi satu keutamaan,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya sudah meningkatkan jumlah bas pengantara kepada 112 buah dengan mendapat sokongan daripada SMART Selangor dan MARALiner.

“Terima kasih kerana memberi sokongan dan kami akan terus memantau keadaan untuk memastikan barisan dan masa menunggu pada tahap minimum,” katanya.

Semalam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah mengumumkan penutupan 16 stesen LRT bermula dari Kelana Jaya hingga Ampang Park.

Berikutan itu, kira-kira 200,000 pengguna terjejas dan terpaksa beralih kepada mod pengangkutan lain untuk urusan harian menyebabkan aliran lalu lintas di ibu kota agak sesak pada waktu puncak.

Loading...
Terkini