comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu teksi semakin berkurangan

FOTO: Hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan jumlah pemandu teksi semakin berkurangan apabila merekodkan seramai 19,919 orang pada Disember 2023 berbanding 22,710 orang pada Disember 2021.

Menterinya Anthony Loke berkata, jumlah pemandu teksi berkurangan sebanyak 12.3 peratus disebabkan pelbagai faktor antaranya usia pemandu, kemampuan kewangan, peningkatan kos operasi, persaingan dan lain-lain.

“Dalam memastikan persaingan sihat, perkhidmatan teksi dibenarkan beroperasi secara tempahan dalam talian dengan menyertai mana-mana platform e-hailing yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Pemandu teksi juga boleh menikmati tambang dinamik melalui operasi secara tahan tepi jalan ataupun menggunakan aplikasi e-hailing.

“Kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) turut memberikan pengecualian duti eksais dan cukai jualan kepada teksi yang dijual, ditukar kepada kenderaan persendirian atau tujuan ganti kenderaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai untung nasib 30,000 pemandu teksi biasa yang terpaksa memberhentikan operasinya sejak kemunculan perkhidmatan e-hailing dan apakah usaha dilakukan bagi membantu mereka yang terjejas.

Mengulas lanjut, Loke berkata, MOT dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang berusaha untuk melindungi pemandu teksi melalui caruman insurans di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan pembiayaan 100 peratus oleh pihak kerajaan.

“Pemandu akan mendapat manfaat sekiranya berlaku bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan,” katanya.

Selain itu katanya, pemandu teksi juga diberi keutamaan dengan pengenaan kadar tol berbeza lebih rendah daripada kadar dikenakan kepada kenderaan persendirian melalui subsidi tol oleh kerajaan.

“Penetapan kadar tol teksi itu adalah berdasarkan ketetapan lokasi dan jarak yang telah ditetapkan oleh syarikat konsesi lebuh raya.

“Sebagai contoh, kadar tol teksi di bawah pengendalian syarikat konsesi Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (Plus) dari laluan masuk di Jalan Duta dan keluar di Sungai Buloh adalah lebih rendah sebanyak 47 peratus daripada kenderaan persendirian.

“Ia di mana kadar tol teksi yang dikenakan adalah sebanyak 82 sen berbanding kadar tol kereta persendirian sebanyak RM1.58,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini